Friday, July 4, 2008

Cinta bukan perasaan tetapi...

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Cinta bukan perasaan tetapi pengorbanan yang begitu agung yang dilakukan oleh manusia bergantung kepada sejauh mana tingginya rasa cinta tersebut. Tiada kayu ukur untuk menilai sejauh mana seorang itu mengasihi atau mencintai apa yang dicintainya. Ianya mungkin boleh di nilai oleh seseorang sebagai cinta yang agong tetapi mungkin orang lain pula tidak menilai demikian kerana ianya bergantung kepada pengorbanan yang telah dilakukannya.



Apabila kita memperkatakan tentang cinta kepada Allah swt seseorang mungkin sanggup mengorbankan segala harta yang mereka ada untuk mencari segala yang menyenangkan atau membuatkan dirinya dikasihi dan di redai oleh Allah swt. Islam mengariskan tentang iman berkait dengan cinta, dimana tidak beriman seorang kamu selagi tidak mencintai Allah swt dan rasulullah saw melebihi diri mereka sendiri, ini bermaksud soal hati adalah suatu yang begitu unik yang perlu kita lihat dan teliti agar ianya sentiasa kita kaitkan dengan Allah swt dan menjadikan kehidupan kita ini sebenarnya hanya untuk Allah swt.



Kebolehan dan keupayaan manusia didalam menilai dan memberikan cinta adalah suatu yang tidak dapat digambarkan kerana manusia boleh melakukan apa sahaja demi cintanya. Oleh sebab itu kita perlu meletakkan cinta ini pada tempat yang sesuai agar kita dapat menyelamatkan diri kita apabila berhadapan dengan Allah swt nanti. Kita perlu sedar jika kita sanggup melakukan apa sahaja sehingga melanggar perintah allah swt kerana cinta maka diketika itu kemurkaan Allah swt akan menyukarkan kehidupan di akhirat nanti. Jika kita kasihkan anak kita maka berilah mereka perlindungan untuk selamat di akhirat nanti, bukan kita memberikan segala yang ad adi dunia tetapi mereka tidak mengenal Allah swt di dalam kehidupan mereka.



Bukan erti cinta kepada isteri kita mengikuti segala kemahuannya tetapi apakah segala kemahuan mereka mengikut kehendak Allah swt dan selari dengan apa yang di ajarkan oleh allah swt kepada manusia. Disini sekiranya kita merasakan ingin dicintai atau mencintai, Tanya dahulu apakah sebenarnya yang kita cari adakah untuk mendapat keredaannya atau mencari kemurkaan Allah swt. Ingat kehidupan kita hanya sebentar dan sekiranya kita tidak melakukan dengan penuh hati-hati ditakuti kita menyesal dan penyesalaan itu tiada guna lagi buat diri kita diakhirat nanti. Allah hu alam



__________________________________________________________________




HOPE is a Waking Dream ... with LOVE everything is POSSIBLE



An incredible love story has come out of China recently and managed to touch the world. It is a story of a man and an older woman who ran off to live and love each other in peace for over half a century. The 70-year-old Chinese man who hand-carved over 6,000 stairs up a mountain for his 80-year-old wife has passed away in the cave which has been the couple's home for the last 50 years. Over 50 years ago, Liu Guojiang a 19 year-old boy, fell in love with a 29 year-old widowed mother named Xu Chaoqin..



In a twist worthy of Shakespeare's Romeo and Juliet, friends and relatives criticized the relationship because of the age difference and the fact that Xu already had children. At that time, it was unacceptable and immoral for a young man to love an older woman.. To avoid the market gossip and the scorn of their communities, the couple decided to elope and lived in a cave in Jiangjin County in Southern ChongQing Municipality. In the beginning, life was harsh as hey had nothing, no electricity or even food. They had to eat grass and roots they found in the mountain, and Liu made a kerosene lamp that they used to light up their lives. Xu felt that she had tied Liu down and repeatedly asked him, 'Are you regretful? Liu always replied, 'As long as we are industrious, life will improve.' In the second year of living in the mountain, Liu began and continued for over 50 years, to hand-carve the steps so that his wife could get down the mountain easily



Half a century later in 2001, a group of adventurers were exploring the forest and were surprised to find the elderly couple and the over 6,000 hand-carved steps. Liu MingSheng, one of their seven children said, 'My parents loved each other so much, they have lived in seclusion for over 50 years and never been apart a single day. He hand carved more than 6,000 steps over the years for my mother's convenience, although she doesn't go down the mountain that much.' The couple had lived in peace for over 50 years until last week. Liu, now 72 years, returned from his daily farm work and collapsed. Xu sat and prayed with her husband as he passed away in her arms. So in love with Xu, was Liu, that no one was able to release the grip he had on his wife's hand even after he had passed away. 'You promised me you'll take care of me, you'll always be with me until the day I died, now you left before me, how am I going to live without you?' Xu spent days softly repeating this sentence and touching her husband's black coffin with tears rolling down her cheeks. In 2006, their story became one of the top 10 love stories from China , collected by the Chinese Women Weekly. The local government has decided to preserve the love ladder and the place they lived as a museum, so this love story can live forever.

Perjuangan menentang Iblis

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Apa pengertian perjuangan dalam pemikiran kita? Berlawan buat masa seketika, berperang, berpatah arang berkerat rotan atau mungkin banyak lagi takrifan yang boleh kita fikirkan. Perlu tenaga, perlu semangat, perlu kemahuan, perlu kesedaran, perlu mengunakan seluruh tenaga dan pemikiran untuk mencapai kemenangan yang sebenarnya. Kita perlu bersungguh-sungguh untuk berjuang dalam pertaruhan atau peperangan, tanpa pengorbanan yang tinggi kita mungkin kalah dan bagi mereka yang menerima kekalahan akan menerima kehinaan dan akan di tindas kehidupannya. Tiada lagi kebebasan dalam dirinya kerana mereka adalah orang-orang yang kalah.



Bagaimanakah perjuangan kita hari ini? Perjuangan untuk menentang hawa nafsu yang di sokong oleh iblis yang telah pernah berjaya memesongkan Nabi Allah Adam suatu masa dahulu dengan seizin Allah swt. Apakah persiapan yang telah kita sediakan untuk peperangan ini? Atau adakah kita benar-benar merasakan yang kita sedang didalam perjuangan atau kita sekadar merasakan kita hanya didalam permainan seperti di dalam video games yang dimainkan oleh anak-anak kecil di komputer mereka.



Ianya berbalik kembali kepada tahap pemikiran kita dan sejauh mana kita merasainya di dalam kehidupan. Berjaya atau tidak kita mengumpulkan ahli keluarga kita di minggu yang lalu untuk kita berkongsi bahan tentang islam bagi menyedarkan ahli keluarga kita tentang perlunya kita menuntut ilmu untuk menjadi seorang islam yang sebenarnya. Jika kita tidak berjaya kita ada masih peluang untuk bermula dan jadikan hari ini sebagai detik bermulanya kita melakukan perubahan buat kehidupan kita. Bukan sukar untuk membacakan bahan agama yang begitu banyak di pasaran, mungkin boleh bermula dengan tafsir atau sirah atau fekah. Atau mungkin kita mampu untuk menjemput guru agama untuk mengajar keluarga kita, ingat kehidupan itu begitu sementara dan sekiranya kita lupa akan pertemuan dengan Allah swt, pertemuan itu tetap akan menjadi kenyataan.



Perjuangan adalah suatu yang tetap berlaku samada kita sedar atau tidak, samada kita mahu terlibat atau tidak, samada kita bersedia atau tidak, samada kita berjaya atau kalah. Namun harapan dan permohonan perlulah kepada Allah swt. Marilah kita bina keluarga bahagia, keluarga yang sedar tanggung jawab dan hubungan mereka dengan Allah swt. Allah hualam



__________________________________________________________________



Iblis Menggoda Nabi Ayub A.S.


Para malaikat memuji akan sikap dan keperibadian Nabi Ayub a.s. yang suka beribadah dan mengingat Allah SWT. Hidupnya penuh dengan rasa kesyukuran yang mendalam atas nikmat yang dibahagikan oleh Allah SWT kepadanya. Iblis mendengar pujian para Malaikat tersebut yang membuat hatinya menjadi panas kerana ia telah bersumpah dengan Allah untuk menggoda setiap anak cucu Adam. Oleh sebab itu ia tidak rela melihat manusia yang berada di permukaan bumi ini beriman, beribadah dan beramal soleh.



Kemudian Iblis menjumpai Ayub untuk melihat sendiri tentang apa yang diperkatakan oleh malaikat itu. Ternyatanya memang benar bahawa Nabi Ayub a.s. memang patut menerima pujian tersebut. Nabi Ayub hidup dalam keadaan yang serba mewah dengan harta kekayaan yang banyak, hidup rukun dengan anak dan isterinya. Namun begitu Nabi Ayub tidak terlena dengan kekayaan dan anak isterinya itu, siang malam bibirnya tidak lepas dari mengingat Allah SWT bersujud dan bersyukur kepada Nya, serta memiliki rasa kasih sayang yang tinggi terhadap sesama makhluk.



Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Ayub a.s. tetapi gagal, namun ia tidak berputus asa untuk menggoda Nabi Ayub. Kemudian ia pergi menghadap kepada Allah dan ia berkata: "Wahai Tuhan, sesungguh Ayub menyembah dan bertasbih kepada Mu bukan lantaran ia ikhlas dan tulus kerana cinta dan taat kepada Mu. Ia melakukan itu hanya kerana takut kehilangan semua kesenangan duniawi yang Engkau berikan kepadanya. Di samping itu ia masih mengharapkan agar kekayaannya bertambah berlipat ganda. Untuk itu ia menyembah Mu, andai kata ia ditimpa musibah sehingga hartanya menjadi musnah tentu ia akan berpaling daripadaMu."
Kemudian Allah berfirman kepada Iblis: "Sesungguhnya Ayub adalah hambaKu yang sangat taat kepadaKu, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekatkan diri kepadaKu semata-mata didorong oleh keimanan yang teguh dan ketaatan kepadaKu. Engkau memang tidak rela melihat anak cucu Adam berada di jalan yang benar dan lurus. Untuk menguji hati Ayub dan keimanannya kepadaKu, Aku izinkan engkau untuk mencuba menggodanya serta memalingkannya daripada Ku."



Iblis mengumpul para sahabatnya untuk menguji dan memalingkan keimanan Nabi Ayub. Untuk pertama kali ia berusaha menghancurkan harta benda Nabi Ayub. Dengan berbagai cara akhirnya Iblis dengan kawan-kawannya para syaitan itu berhasil memusnahkan binatang ternak, ladang-ladang serta bangunan-bangunan milik Nabi Ayub. Dengan waktu yang singkat Nabi Ayub yang kaya raya itu menjadi miskin. Yang ada hanya segumpal hati yang penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.



Setelah itu Iblis pun datang menemui Nabi Ayub dengan menyamar sebagai orang tua yang bijaksana, dan berkata: "Sesungguhnya musibah yang menimpa mu ini sangat mengerikan, dalam waktu yang singkat segala harta mu jadi musnah, tentu sahabat-sahabat menjadi sedih dan bertanya apa sebabnya Ayub menerima musibah seburuk ini. Sementara musuh-musuh mu ada yang berkata; musibah ini datang mungkin Ayub tidak ikhlas dalam beribadah, dan ada lagi yang berkata, kalau Tuhan Ayub benar-benar berkuasa nescaya Dia dapat menyelamatkan Ayub dari bencana ini.



Sebahagian yang lain ada yang berkata, mungkin amal ibadah Ayub tidak diterima oleh Tuhan sebab dilakukan bukan dengan hati yang bersih, serta mempunyai sifat riya' dan ingin dipuji. Aku pun merasa berdukacita kepada mu hai Ayub dengan nasib mu ini." Kemudian Iblis merayu dan memujuk Nabi Ayub dengan kata-katanya yang manis. Kemudian Nabi Ayub berkata: "Ketahuilah bahawa apa yang telah aku miliki, semuanya itu barang pemberian Allah yang dimintanya kembali setelah aku cukup menikmatinya dan menggunakannya. Segala puji dan kesyukuran hanya untuk Allah yang telah memberikan kurniaNya kepada ku dan mencabutnya kembali. Dia Maha Kuasa yang dapat berbuat sesuai dengan kehendakNya. Sebagai hamba kita harus menerima takdirNya itu." Setelah selesai berbicara Nabi Ayub pun bersujud kepada Allah SWT.



Iblis segera meninggalkan rumah Nabi Ayub dengan rasa kecewa dan hampa. Namun begitu dia masih berhasrat untuk mencelakakan Nabi Ayub a.s. Kembali ia menghadap kepada Allah SWT dan meminta izin untuk meneruskan usahanya. Iblis berkata: "Wahai Tuhan, Ayub tidak mahu menerima hasutan ku, bahkan sedikitpun tidak goyah imannya kepada Mu, walaupun segala harta dan kekayaannya telah musnah. Mungkin kerana dia masih memiliki harapan, bahawa anak-anaknya yang sihat dan kuat akan meneruskan kehidupannya untuk hari tua.



Menurut ku Ayub tidak akan sanggup menerima musibah, jika kecelakaan itu ditimpakan kepada anak-anak yang sangat dicintainya itu. Oleh sebab itu ya Tuhan, izinkan aku sekali lagi untuk mencuba kesabarannya, dan keteguhan imannya. Godaan yang ku lakukan ini terhadap keluarganya dan putera-putera yang sangat disayanginya itu." Allah mengizinkan permintaan Iblis itu. Iblis pun pergi bersama-sama kawan-kawannya untuk memusnahkan putera-putera Nabi Ayub. Rumah yang diduduki oleh putera-putera Nabi Ayub menjadi hancur begitu pula putera-puteranya meninggal semuanya.



Kemudian Iblis pun pergi ke rumah Nabi Ayub menyamar sebagai sahabat Nabi Ayub, untuk mengucapkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa Nabi Ayub serta keluarganya itu.
Iblis berkata; "Hai Ayub sudah engkau melihat putera-putera mu yang mati ditimbus oleh bangunan rumah-rumahnya akibat dari gempa bumi itu? Sudah jelas hai Ayub bahawa Tuhan tidak menerima ibadah mu selama ini dan tidak menjaga dan melindungi mu sebagai balasan dari amal soleh mu."



Mendengar ucapan Iblis itu, menangislah Nabi Ayub tersedu-sedan sambil berkata: "Allahlah yang memberi dan Dia pulalah yang mengambil kembali. Segala puji bagi-Nya Tuhan Yang Maha Pemberi dan Maha mencabut kembali."



lblis pergi meninggalkan Nabi Ayub yang sedang dalam keadaan sujud kepada Allah SWT. Kemudian Iblis kembali mengadap Allah. "Wahai Tuhan, Ayub telah kehilangan harta benda bahkan putera-puteranya namun ia masih tetap memiliki keimanan yang kuat. Izinkan aku ya Tuhan untuk menguji sekali lagi terhadap kesihatan dirinya. Kerana jika sudah sakit dan lumpuh sudah tentu ia akan malas mengerjakan ibadah kepada Mu."



Allah mengizinkan kehendak Iblis tersebut. Iblis memerintahkan kepada pengikut-pengikutnya supaya menaburkan benih-benih penyakit ke dalam tubuh Nabi Ayub. Sehingga Nabi Ayub menjadi orang yang tidak bermaya, semua orang menjauhinya disebabkan penyakit yang menimpanya itu dapat berjangkit kepada orang lain. Hanya isterinya yang setia menjaga dan merawat Ayub.



Iblis masih melihat walaupun Nabi Ayub dalam keadaan yang tidak berdaya itu ia masih tetap beribadah kepada Allah SWT bibirnya terus menyebut nama Allah. Iblis menjadi kesal dengan sikap Nabi Ayub tersebut, sehingga ia meminta pendapat terhadap teman-temannya bagaimana cara untuk menghancurkan keimanan Nabi Ayub itu. Di antara mereka ada yang berkata Engkau telah berhasil mengeluarkan Nabi Adam dari syurga bagaimana engkau dapat melakukan hal itu?" Iblis baru teringat hal itu dilakukan dengan jalan menggoda isteri Adam. Mungkin idea ini dapat dilakukan terhadap isteri Nabi Ayub.



Pergilah ia menemui isteri Nabi Ayub dengan menyamar sebagai seorang sahabat Nabi Ayub. Iblis membisikkan rayuannya kepada telinga isteri Nabi Ayub. Akhirnya isteri Nabi Ayub pergi menemui Nabi Ayub yang sedang menanggung penderitaan itu dan sedang bertasbih kepada Allah SWT. Kemudian ia berkata; "Wahai suami ku sampai bilakah engkau diseksa oleh Tuhan mu, yang mana segala harta dan putera-putera kita telah musnah, begitu juga sahabat-sahabat mu telah menjauhkan diri. Mohonlah wahai suami ku Ayub kepada Tuhan mu, supaya kita dibebaskan dari penderitaan yang terus menerus ini."



Kemudian Nabi Ayub berkata; "Wahai isteri ku engkau menyesali akan peristiwa yang terjadi, aku ingin bertanya kepada mu berapa tahunkah kita menikmati kesenangan dan kemewahan yang diberikan oleh Allah?" Isterinya menjawab 80 tahun. Kemudian Nabi Ayub bertanya lagi; "Berapa lamakah kita dicuba oleh Allah seperti ini?" Isterinya menjawab, "tujuh tahun."
"Aku malu untuk memohon kepadaNya untuk bebas dari cubaan ini, jika dibanding nikmat yang kita rasakan dengan cubaan yang diberikan oleh Allah tidak sebanding. Kiranya engkau telah mendengar hasutan Iblis yang durjana sehingga imanmu menjadi menipis. Tunggulah ganjaran mu nanti, setelah aku sihat aku akan mencambuk mu sebanyak seratus kali. Tinggalkan aku seorang diri di sini menunggu takdir Ilahi!"



Setelah Nabi Ayub hidup sendiri ia bermohon kepada Allah SWT. "Wahai Tuhan ku, Iblis telah mengganggu ku, dengan berbagai godaan yang dilakukannya hanya Engkaulah wahai Tuhan ku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang."



Kemudian Allah SWT menerima doa Nabi Ayub a.s. kemudian Allah berfirman, "Hentakkanlah kaki mu ke tanah. Dari situ akan keluar air, dan dengan air itu engkau akan menjadi senang dan sihat dari penderitaan penyakit mu jika engkau gunakan untuk minum dan mandi." Dengan kekuasaan Allah, Nabi Ayub sihat dari penyakitnya, bahkan kelihatan lebih sihat dari ketika ia masih muda.



Nabi Ayub telah bersumpah akan memukul isterinya seratus kali apabila ia telah sembuh, ia merasa wajib untuk melaksanakannya walau timbul rasa kasihan untuk melakukannya. Sebab isteri beliau sangat setia dan baik hati. Di dalam keraguan Nabi Ayub tersebut maka turunlah wahyu Allah SWT. "Hai Ayub ambillah dengan tangan mu seikat rumput dan pukullah isteri mu dengan rumput itu sebanyak seratus kali sehingga dengan demikian tertebuslah sumpah mu itu."



Akhirnya Nabi Ayub a.s. hidup rukun dan damai seperti semula, bahkan Allah SWT mengganti putera-puteranya sebanyak itu juga. Begitulah bukti dari kesabaran seorang hamba Allah SWT yang tidak tergoda dengan pujuk rayu Iblis. (kisah ini dapat dibaca dalam Al-Quran surah Sad ayat 41-44 dan surah Al Anbiya ayat 83-84).



Begitulah tipu daya Iblis yang pandai menggoda, membisik sesuatu yang indah ke dalam setiap hati dan telinga umat manusia. Ia akan merasa cemburu dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta bersujud hanya kepada Allah SWT. Sebaliknya ia akan tertawa dan berbangga hati jika orang-orang yang telah beriman dapat dirayunya dan mengikuti jalan yang sesat.



Sumber: DarulNuman, Pengarang: Muhammad Isa SelamatDipetik Dari Buku: 1001 Memori - Himpunan Kisah Jin, Iblis & Syaitan (Siri 1)

Thursday, July 3, 2008

Kesukaran tidak selama-lamanya..

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Tiada sesuatu pun yang susah kerana kesukaran itu sebenarnya bermula apabila kita berfikir ianya sukar, apabila kita bersedia untuk melatih dan berlatih maka kita akan memperolehi apa yang kita hajatkan. Jika kita kata terlalu susah untuk mendapatkan apa yang kita mahukan, ramai lagi orang lain yang mengalami lebih banyak kesukaran untuk mendapatkan apa yang ingin mereka mahukan didalam kehidupan.



Kejayaan yang dikecapi pada hari ini adalah kejayan yang telah dilalui selepas kita merasakan kesukaran demi kesukaran, samada kita sedar atau tidak kita telah banyak melalui kesukaran demi kesukaran dan kita telah Berjaya menghadapi kesukaran tersebut. Jika direnungkan mungkin kita tidak terfikir yang kita berjaya untuk mengatasinya tetapi dengan izin Allah swt kita berjaya menghadapinya. Mengapa? Adakah kerana kita telah dilahirkan untuk berjaya? Sebenarnya kita sendiri yang melakukan keputusan untuk melakukan apa yang telah kita lakukan kerana Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum jika sekiranaya kaum itu tidak mahu mengubah nasibnya sendiri.



Perubahan itu bermula dari apa yang kita fikirkan dan kita dirasai didalam perasaan dan di jelmakan didalam tindakan. Kehidupan semuanya adalah suatu perjuangan dan setiap perjuangan perlu kepada pengorbanan. Apakah pengorbanan yang telah kita lakukan untuk mendapatkan kejayaan membentuk keluarga yang bahagia dan cemerlang? Persoalan ini hanya akan boleh dijawab oleh kita sendiri dan kita tahu sejauh mana sebenarnya kita benar-benar mahukan kebahagian tersebut berada didalam keluarga kita.



Sekiranya kita berfikir untuk mendapatkannya maka cita-cita hari ini merupakan kenyataan hari esok, sebaliknya sekiranya kita tidak berfikir untuk mencapainya bagaimana ianya akan menjadi kenyataan didalam kehidupan kita. Marilah kita fikirkan apakah yang mahu kita cipta demi kebahagian kehidupan bukan sahaja di dunia malah diakhirat nanti. Allah hu alam

Apa kata hati kecilku....

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Pandangan dan tanggapan kita seringkali berbeza dengan keadaan sebenar yang berlaku, kita selalu mengikut apa sahaja tanggapan kita tanpa kita berfikir terlebih dahulu kemungkinan-kemungkinan lain yang berlaku di sebalik peristiwa yang kita alami. Kita lebih kerap memberikan tanggapan yang negetif sekiranya kita sentiasa atau selalu berfikiran negetif, sebaliknya kita akan berfikiran dan mencari yang positif apabila kita membiasakan berfikir secara positif.



Apa yang kita fikirkan akan kita rasakan dan akan kita lahirkan didalam tindakan, mudah untuk menyedarinya itu yang berlaku kepada diri kita, tetapi kita perlu menyediakan yang positif untuk mendapatkan hasil yang positif didalam tindakan kehidupan kita. Sekiranya kita merasakan segala-gala yang berlaku adalah pemberian dari Allah swt dan kita hanya manusia yang perlu melakukan yang terbaik, kerana kita sedar Allah swt melihat apa yang kita lakukan. Apakah yang mungkin kita lakukan, kita memilih untuk melakukan yang terbaik atau sebaliknya, masa tetap berlalu, sekiranya kita memilih untuk melakukan yang terbaik tidak semestinya hasil yang baik akan kita perolehi tetapi hasil adalah milik dan ketentuan Allah swt dan Dia boleh memberikan hasil yang terbaik, atau hasil yang tidak baik.



Tugas dan peranan kita adalah melakukan yang terbaik, terbaik dan terbaik. Sekiranya kita telah berusaha maka hasil atau keputusan adalah milik Allah swt untuk Dia menguji diri kita bagaimanakah kita berbaik sangka terhadap apa sahaja ketetapan yang telah di rencanakan olehNya. Manusia begitu lemah dan mudah merasakan putus asa, mudah kecewa, mudah tersentuh. Allah swt menjadikan begitu agar kita sentiasa berharap kepada Allah swt dan mengetahui yang kita serba kekurangan dan perlu berharap hanya kepadaNya.



Kita perlu bantu membantu kerana Allah swt berikkan kelebihan kepada seseorang dan kekurangan kepada seseorang untuk menguji mereka samada benar-benar bersyukur atau merasakan segala kelebihan yang telah diberikan adalah milik mereka tanpa dapat menghubungkan kepada ketentuan Allah swt. Sifat allah swt yang maha berkuasa mampu memberikan apa sahaja dan menjadikan apa sahaja untuk melihat betapa kekuasaan yang begitu besar. Bersyukurlah kepada Allah swt yang telah menjadikan kita sebagai seorang muslim dan tanda yang kita bersyukur adalah kita cuba untuk memahami agama yang diberikan oleh Allah swt ini. Mari kita bermula untuk melihat tafsir dan pengertian islam yang telah banyak di tulis oleh ulamak mutabar bukan setakat meletakkan buku-buku tersebut di almari buat penghias rumah kita sekarang. Allah hu alam.



___________________________________________________________________


Anak Kecil dan Seketul Batu



Seorang Executive muda yang berjaya sedang memandu disebuah perkampungan di pinggir Bandar. Ia memandu agak laju dengan sebuah kereta WAJA yang berprestasi tinggi yang baru sahaja dibelinya. Sambil ia memandu perlahan-lahan ia sedang memerhatikan seorang anak
kecil dicelah-celah kereta yang diletakkan ditepi jalan, ia memperlahankan keretanya untuk melihat sesuatu yang difikirkannya.



Seelok-elok sahaja kereta Waja tersebut melintasi kawasan tersebut; anak kecil tidak kelihatan tetapi seketul batu dilontarkan tepat mengena pintu disebelah kanan kereta Waja tersebut.
Apalagi Executive muda tersebut menekan brek sekuat hatinya dan berundur ke tempat dimana Anak kecil tadi berdiri. Dengan marahnya dia keluar dari kereta terus meluru ke arah Anak kecil , menarik tangan anak kecil dan menghempasnya ke kereta yang terletak ditepi jalan dan terus memarahi Anak kecil tadi:



" Apa ni? Siapa awak? dan apa ke jadahnya awak berada disini? Itu kereta baru , mahal dan susah nak baiki? Awak tau tak? Kenapa awak buat ini semua? jerit Executive tersebut.



Anak kecil itu tunduk sedih, sayu dan memohon maaf; "Saya meminta maaf Pakcik, Saya tak tahu apa patut saya buat, ia merayu. Saya melontar batu kerana tak ada orang yang berhenti disini apabila saya panggil".



Dengan linangan air mata ia menunjukkan ke satu sudut yang tidak jauh dari situ. "Itu abang saya, ia jatuh dari kerusi roda dari tebing disebelah dan tak ada orang yang dapat mengangkatnya kembali. Boleh tak Pakcik menolong saya , ia cedera dan ia terlalu berat untuk saya.



Dengan rasa terharu,Executive muda tersebut melepaskan anak kecil tersebut dan terus mengangkat abangnya dan meletakkannya kembali ke kerusi roda.



Terima kasih , pakcik, Saya doakan pakcik selamat dunia dan akhirat. Tak dapat digambarkan dengan perkataan, Executive muda hanya melihat dengan sayu, Anak kecil tersebut menyorong abangnya yang cacat dan cedera pulang menuju ke rumahnya. Anak sekecil itu boleh mendoakannya akan kesejahteraan hidupnya.



Executive muda tersebut berjalan perlahan ke arah kereta, WAJA kemek teruk tetapi ia membiarkan saja tanpa dibaiki. Ia mengigatkannya bahawa kita tidak perlu berkejar-kejar dalam kehidupan ini sehinggakan seseorang melontar batu hanya kerana hendakkan perhatian.



Pengajaran


Tuhan tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah, bersuka-ria tanpa kesedihan, Panas tanpa hujan tetapi ia memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa kesedihan dan menunjukkan jalan yang sebenar-benarnya. Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara yang diberikan oleh Allah swt.

Tuesday, July 1, 2008

Empat istilah penting

Ilah (اله), Rabb ( رب ), ‘Ibadah ( عبادة ) dan Din ( د ين) adalah empat istilah asas bagi keseluruhan pengajaran di dalam al-Quran. Marilah kita memahami akan maksud keempat perkataan ini, ia merupakan dasar kepada keimanan seseorang, sejauh mana seseorang memahami perkataan ini akan memberikan lagi suatu kesedaran yang akan melahirkan tindakan didalam kehidupan dan menjadi seperti penyuluh yang akan menunjukkan jalan-jalan yang perlu dilalui didalam kehidupan ini.



Mungkin kita boleh mengunakan masa yang ada untuk duduk sebentar bersama-sama keluarga dan anak-anak untuk meneliti ayat demi ayat dan baris demi baris akan ayat allah swt yang ada didalam artikal ini untuk menjadikan tempat untuk kita bermula usrah keluarga, mungkin bagi membolehkan kita cuba mengajarkan anak-anak dan juga diri kita sendiri untuk mencari sesuatu yang selama ini telah kita lupakan.



Jika kita lihat bangsa arab apabila diperkatakan perkataan ini mereka benar-benar paham tetapi sebahagian mereka menollak akan kebenaran islam, bagi kita yang tidak memahami perkataan ini dan baru untuk merasainya mungkin suatu yang perlu kita syukuri, walaupun tidak memahami kita telah diberikan islam didalam diri kita, diharapkan dengan memahaminya akan memberikan lebih kesungguhan untuk kita menikmati akan kebaikan islam dan berbangga kerana telah diberikan panduan untuk melalui kehidupan ini oleh Allah swt.



Masa yang kita ada hanya 24 jam sehari dan jika kita biarkan tanpa cuba meneliti apa yang diberikan oleh Allah swt, masa itu tetap berlalu tetapi sekiranya kita mengambil kesempatan untuk menghimpunkan anak-anak selepas magrib atau selepas isyak walaupun hanya untuk 10 minit, ianya telah bermulanya suatu perjalanan untuk mencari kebaikan didalam kehidupan dan merubah kehidupan kita seterusnya.



Semuga allah swt memberikan Hidayah kepada kita dan memasukkan kita tergolongan didalam manusia yang diberikan rahmatnya. Amin



_________________________________________________________________
KEPENTINGAN MEMAHAMI EMPAT ISTILAH ASAS DALAM AL-QURAN




Muqaddimah



Ilah (اله), Rabb ( رب ), ‘Ibadah ( عبادة ) dan Din ( د ين) adalah empat istilah asas bagi keseluruhan pengajaran di dalam al-Quran. Al-Quran berulangkali menekankan bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang Maha Berkuasa, Dialah Rabb dan Dialah Ilah, Tiada Ilah melainkan Dia dan Tiada Rabb melainkan Dia. Tidak pernah Dia berkongsi sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan-Nya dengan yang lain. Hanya Dia sahajalah yang semestinya diterima oleh manusia sebagai Ilah dan Rabb. Tidak seharusnya wujud mana-mana individu ataupun golongan yang berani mengakui mempunyai sifat-sifat kekuasaan dan kemuliaan, yang sebenarnya menjadi milik Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.



Kita dituntut agar beribadah hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala, tidak kepada yang lain. Juga, menerima Din sebagaimana yang dikehendaki-Nya sahaja dan menolak segala din yang lain.



Allah Subhanahuwata’ala berfirman:



Dan Kami tidak mengutuskan Rasul sebelummu melainkan Kami wahyukan kepadanya: Bahawasanya tidak ada Ilah melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.
(Surah al-Anbiyaa’ : 25)



Mereka mengambil orang-orang alim (pendita-pendita) dan padri-padri mereka menjadi Ilah, bukan Allah dan juga mereka (mempertuhankan) al-Masih Anak Mariam, sedangkan mereka hanya disuruh (oleh Allah) supaya beribadah kepada Ilah Yang Maha Esa, tidak ada Ilah selain daripadaNya, Maha Suci Dia (Allah) dari apa yang mereka persekutukan.
(Surah at-Taubah : 31)




Mengambil manusia sebagai Ilah dan mengambil din rekaan manusia sebagai din yang dianuti adalah penyelewengan dan kesesatan yang nyata.





Firman Allah Subhanahuwata’ala:



Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.
(Surah al Anbiyaa’ : 92)



Katakanlah: Apakah aku akan mencari Rabb selain Allah, padahal Dia adalah Rabb bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabbmulah kamu kembali dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.
( Surah al-An’aam : 164)



Katakanlah: Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: Bahawa sesungguhnya Ilah kamu itu adalah Ilah yang Esa. Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Rabbnya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Rabbnya.
(Surah al-Kahfi : 110)



Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada Nyalah menyerahkan diri segala yang ada di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allah lah mereka dikembalikan.
(Surah ali-‘Imran : 83)



Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada Nya dalam (menjalankan) agama.
(Surah az-Zumar : 11)



Sesungguhnya Allah, Rabbku dan Rabbmu, kerana itu sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.
(Surah ali-‘Imran : 51)



Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala di atas ada kaitan dengan konsep Ilah, Rabb, ‘Ibadah dan Din.



Oleh itu Allah adalah llah dan Rabb bagi seluruh manusia. Tidak ada sesiapa pun selain Allah Subhanahuwata’ala mempunyai sifat-sifat Kekuasaan dan Penentuan yang Paling Tepat ke atas sesuatu. Oleh sebab itu manusia wajib beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala. Dan, din bagi manusia ialah Din Islam semata-mata dan tidak dikongsikan dengan din yang lain.



Pentingnya memahami Konsep Ilah dan Rabb



Orang yang tidak memahami tauhid (keyakinan kepada KeEsaan Allah semata-mata) dan tidak memahami musuh-musuh tauhid, iaitu syirik (pengakuan atau keyakinan kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala), maka tidak akan mampu untuk beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dan melaksanakan Din-Nya semata-mata.



Orang yang tidak faham dengan jelas terhadap istilah-istilah Ilah dan Rabb, maka pengajaran al-Quran akan terus menjadi tidak jelas dan lengkap baginya.



Tanpa memahami istilah-istilah Ilah dan Rabb, seseorang itu akan terus menerus melafazkan kalimah: لا اله الا الله (Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah), sedangkan pada praktiknya dia tetap melayan kehendak-kehendak ilah yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dia akan mengaku dengan sungguh-sungguh dan penuh ikhlas bahawa dia tidak ber‘ibadah kepada yang lain melainkan Allah Subhanahuwata’ala, tetapi pada praktiknya dia terus menerus ber‘ibadah kepada yang lain selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tanpa sedar.



Jika ada pihak yang cuba menunjukkan kepadanya akan kesalahannya mencintai din yang lain daripada Din Allah, maka dia akan rasa tersinggung dan melawan kembali. Dalam keadaan tidak insaf dan tidak sedar, dia akan terus memberikan kesetiaan kepada perintah-perintah din yang lain selain Islam. Tanpa sedar, dia akan terus yakin kepada undang-undang dan peraturan-peraturan bukan Islam. Dia akan terus merasa senang dengan pendokong-pendokong din yang lain tanpa mengesyaki atau mencurigai bahawa pendokong-pendokong itu telah mensyirikkan Allah Subhanahuwata’ala.



Kefahaman tentang konsep Ilah dan Rabb



Ketika mula-mula al-Quran diturunkan kepada orang-orang Arab, mereka benar-benar memahami apakah yang dimaksudkan dengan Ilah dan Rabb. Ini kerana istilah-istilah itu berkaitan dengan bahasa yang dipertuturkan ketika itu. Istilah-istilah itu bukanlah suatu yang baru bagi mereka dan tiada pula maksud-maksud yang lain di sebalik yang mereka fahami.



Orang-oang Arab benar-benar memahami makna yang terkandung dalam istilah-istilah tersebut. Apabila mereka menyebut bahawa Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah (yang disembah) dan Rabb (yang Maha Pencipta) dan tidak ada sesiapa yang lain mempunyai sifat-sifat dan kemuliaan yang dimaksudkan itu, maka mereka segera dapat memahaminya. Mereka betul-betul mengetahui hak-hak Allah Subhanahuwata’ala yang tidak boleh diberikan kepada yang lain.



Mereka yang menentang dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, menyedari akibat atau kerugian yang dialami di pihak mereka jika menyokong Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Manakala mereka yang menerima dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pula, memahami apa yang semestinya mereka hadapi, tinggalkan dan pisahkan.



Begitu juga dengan istilah ‘Ibadah dan Din yang selalu digunakan pada masa itu. Mereka memahami apa yang dimaksudkan dengan ‘abd dan ‘ubudiyyah (perhambaan). Juga apa yang dimaksudkan dengan istilah Din.



Oleh sebab itu apabila mereka yang menerima dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, diperintahkan supaya memberhentikan ‘ibadah kepada yang lain dan menumpukan ‘ibadah khas untuk Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, dan membuang keyakinan kepada Din yang lain dan meyakini hanya kepada Din Allah Subhanahuwata’ala, maka mereka mampu melaksanakannya dan menghalakan seluruh rasahati , fikiran dan tingkahlaku kepada ajakan al-Quran. Maka berlakulah perubahan yang mendadak (revolusi) dalam cara hidup mereka sepertimana yang dikehendaki oleh al-Quran.



Apabila masa berlalu, terutama bagi generasi terkini yang mengalami pelbagai perubahan baru, maka istilah-istilah itu semakin sukar difahami. Akhirnya istilah-istilah itu hanya difahami beberapa orang ulama’ yang jelas terbukti keikhlasan, kesungguhan, ingin menghayati Islam sebagai ad-Din dan ingin kembali mengambil Generasi al-Quran pertama sebagai contoh.



Umat manusia, pada umumnya sudah kehilangan mafhum asal istilah-istilah itu. Mereka hanya dapat memahami istilah-istilah itu dengan makna dan maksud yang digunapakai oleh masyarakat umum sahaja. Contohnya:



1. Perkataan Ilah hanya digunakan pada perkara-perkara yang berkaitan dengan tuhan-tuhan (selain Allah) yang membawa makna yang sama dengan tokong-tokong, berhala-berhala dan tuhan-tuhan.



2. Perkataan Rabb hanya dimaksudkan dengan seseorang yang memelihara atau menyara hidup orang lain, atau membekalkan orang dengan keperluan duniawi.



3. Perkataan Ibadah pula difahami sebagai perlaksanaan atau peraturan adat resam (tradisi).



4. Perkataan Din pula hanya difahami sebagai satu agama atau kepercayaan kepada mana-mana peraturan.



5. Manakalah Taghut pula diterjemahkan membawa makna tokong, berhala atau syaitan.



Hasil daripada kefahaman yang salah atau keliru itu menyebabkan manusia sukar untuk kembali kepada risalah atau mesej al-Quran yang sebenarnya.



Al-Quran mengajak manusia supaya jangan mengambil yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala sebagai Ilah. Maka, manusia kini menyangka bahawa mereka telah memenuhi kehendak al-Quran itu setelah mereka meninggalkan sembahan, tokong-tokong, berhala-berhala dan yang lain yang dianggap sebagai tuhan-tuhan, sedangkan amalan dan praktik hidup mereka terus menerus memenuhi kehendak-kehendak yang lain daripada kehendak-kehendak Allah Subhanahuwata’ala.



Al Quran mengajak manusia supaya jangan mengakui selain daripada Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb. Maka manusia kini menyangka mereka telah memenuhi kehendak itu kerana mereka tidak pernah mengakui sesiapa pun sebagai Rabb mengikut konsep tauhid yang mereka fahami. Sebaliknya, tanpa mereka sedar, tingkahlaku mereka telah mengangkat yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala ke taraf Rabb.



Mereka membantah serta tidak menyembah berhala-berhala, mereka mengutuk syaitan dan mengaku menghadapkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata, tetapi pemikiran mereka tidak ingin meninggalkan sistem hidup taghut yang dibentuk oleh manusia.



Mengenai ‘ibadah, mereka melakukan beberapa ‘ibadah khusus. Namun sebahagian besar dari hidup mereka tidak dilandaskan dengan hukum-hukum atau perintah-perintah Allah Subhanahuwata’ala.



Begitu juga mengenai din, mereka mengaku menganut agama Islam dan meninggalkan agama-agama lain. Mereka faham sekadar itu sahajalah keperluan beragama dan sesiapa sahaja yang berbuat demikan sudah memenuhi tuntutan perhambaan hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata’ala. Sebaliknya, pada hakikatnya, majoriti manusia kini telah menyeleweng jauh daripada Din Islam yang sebenarnya.

Dalam suasana kegelapan dan kepalsuan ini, keempat-empat istilah asas itu tidak lagi diberikan makna yang betul. Ini menimbulkan banyak masalah. Maka, lebih daripada tiga perempat ajaran al-Quran tidak lagi difahami. Inilah sebab utama mereka tidak ingin menghayati cara hidup yang termaktub dalam al Quran. Oleh itu untuk memahami hakikat ajaran al-Quran sebenarnya, kita perlu memahami makna keempat-empat istilah itu.



Tanpa kefahaman ini, akibatnya manusia sentiasa hidup di dalam keraguan. Apabila mereka ingin membuat sesuatu keputusan, maka mereka merujuk kepada teori manusia dan membelakangkan ketetapan Allah Subhanahuwata’ala.



Tanpa kefahaman ini, secara tidak sedar manusia yang mengaku Islam akan tertarik dengan din yang bukan Islam dan sanggup pula mati mempertahankannya. Manusia yang mengaku Islam memerangi saudara-saudaranya sendiri dan lebih teruk lagi memerangi din Islam.



Kembali kepada Tarbiyah



Untuk memahami kembali istilah-istilah Ilah (اله), Rabb ( رب ), ‘Ibadah ( عبادة ) dan Din ( د ين) yang sebenarnya, kita perlu kembali kepada tarbiyah Islamiyah. Lebih-lebih lagilah untuk menghayatinya dalam kehiudpan yang mencabar kini, maka tarbiyah yang berterusan sangat diperlukan.





Rujukan: Empat Istilah Dalam Al-Qur’an, Al-Maududi