Wednesday, September 16, 2009

Ilmu Pembeza Kehidupan...

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

http://www.jameataleman.org/english.htm

Ilmu pengetahuan begitu penting bagi seseorang namun berapa ramai orang yang mencari ilmu didalam kehidupan selepas tamat pengajian di universiti, rata-rata orang ramai telah melupakan buku kerana buku hanya untuk orang-orang yang sedang belajar sahaja. Bukankah ilmu suatu tuntutan yang dikehendaki oleh Agama, Islam inginkan umatnya memulakan pengabdian dengan membaca, membaca untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran agar merasai Allah swt berada dimana sahaja didalam kehidupan seseorang.


Mari kita perhatikan seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang memandu kenderaan, mereka perlu mengenal bahagian-bahagian di kenderaan tersebut dan apakah fungsi-fungsi yang terdapat pada kenderaan tersebut. Selepas itu mereka perlu belajar untuk mengendalikan kenderaan tersebut dan berlatih memandu. Apabila mereka meguasai ilmu tersebut baru mereka berkeinginan untuk membeli dan mengunakan kenderaan yang mereka ada dengan sebaik mungkin. Tidak mungkin seorang membeli kenderaan hanya untuk di simpan dirumah sahaja sebagai pamiran atau ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa mereka mampu membeli sebuah kenderaan dan disimpan dengan baik. Ilmu yang mereka perolehi mendesak mereka untuk berubah dan mengunakan ilmu tersebut buat kebaikan kehidupan mereka.


Apakah yang akan kita katakan kepada seseorang yang mempunyai pengetahuan dan telah mendapat lesen memandu serta mempunyai kenderaan sebaliknya tidak pernah memandu kerana takut kemalangan, sayangkan kenderaan dan bersedia mengunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk perjalanan mereka. Tentu kita kesian dan kalau boleh mahukan mereka mengubah kehidupan mereka. Tetapi bagaimana pula sekiranya seorang itu tidak pernah belajar memandu, tidak tahu tentang kenderaan, tidak pernah menjadi penumpang tiba-tiba mahu membawa kenderaan tersebut mengikut gaya dan kehendak mereka sendiri? Mahukah kita menaiki kenderaan itu sebagai penumpang. Tentu sekali tidak, kita mahu menumpang kenderaan yang dibawa oleh seorang pemandu yang berpengalaman. Adakah kita boleh tidur sepanjang perjalanan sekiranya kita sebagai penumpang kenderaan dan pemandu tersebut menyatakan yang dia baru lulus peperiksaan JPJ semalam dan maaf sekiranya keadaan tidak selesa sebab baru lulus periksa.


Pengetahuan bukan sebagai ilmu semata-mata tetapi sebagai penyuluh kehidupan untuk diamal dan dilaksanakan di dalam kehidupan. Berapa banyak kita berusaha untuk mencari ilmu agar kita sentiasa berpengetahuan dan dapat mengamalkan ilmu yang telah kita perolehi untuk kehidupan kita. Berapa banyak ilmu tentang kebenaran yang kita bersedia untuk menerimanya walaupun pedih untuk kita mendengarnya. Adakah kita sentiasa cuba mencari kebenaran didalam kehidupan atau kita sentiasa mengikut hawa nafsu kita semata-mata, yang bersesuaian dengan nafsu kita maka kita akan mendapatkan ilmu tersebut dan yang bertentangan dengan nafsu kita cuba untuk menjauhinya. Marilah kita sama-sama bermula untuk mencari ilmu dan kebenaran didalam kehidupan yang pasti menemui kematian. Allah hu alam

1 comments:

Anonymous said...

Alhamdulillah..suatu artikel yg baik berkaitan kepentingan ilmu dalam kehidupan. Benar, pencarian ilmu bukan setakat di bangku sekolah atau di bangku universiti sahaja tetapi ianya perlu dilakukan sepanjang hayat. T.kasih tuan.