Wednesday, September 16, 2009

Kesukaran dan penderitaan sejauh mana dirasai

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

http://www.jameataleman.org/english.htm (laman buat mencari sedikit ilmu)

Kesukaran untuk mendapatkan makanan mungkin tidak pernah kita rasai, puasa mengajar kita merasai kelaparan buat seketika namun apabila azan berkumandang pastinya perut akan di isi dengan sedikit makanan, semalam sungguh menyentuh hati dimana apabila hampir masuk magrib saya mencari kedai untuk makan, maklumlah takut restoran penuh pula jika lewat membeli atau tiada meja untuk duduk makan. Sambil peniaga menyediakan makan untuk saya, saya bertanya kenapa lengang sahaja? Jawapnya mungkin belum ramai yang mahu mendapatkan makan berbuka.


Apabila azan berkumandang, saya dan anak saya sahaja sebagai pelanggan restoran tersebut, kami dan pekerja restoran berbuka puasa dan saya dapati ramai daripada orang yang berada disekitar restoran itu meminum hanya air kosong, dan kemudian seperti tiada apa-apa yang berlaku, tidak sibuk untuk makan untuk berbuka puasa. Terdetik hati saya, mungkin ini yang dikatakan mereka tidak berkemampuan untuk membeli makanan langsung.


Mungkin berpuasa dan tidak berpuasa tidak memberi apa-apa perbezaan, yang berbeza adalah pada bulan puasa mereka tidak makan dan orang lain juga tidak makan disiang hari dan mungkin sewktu berbuka ada hati-hati yang dermawan yang sanggup memberikan sedikit kelebihan buat orang lain seperti diri mereka. Alangkah sukarnya kehidupan mereka, mereka tidak meminta dilahirkan miskin, bukan mereka pemalas, bukan juga mereka bodoh tetapi ini adalah ujian buat mereka dan ujian buat diri kita yang diberikan sedikit kelebihan, bagaimana kita bersyukur.


Pengalaman ini adalah ketika saya berada di Indonesia baru-baru ini, mungkin masih ramai lagi di antara mereka yang tidak tahu apakah makanan yang boleh mereka makan apabila waktu azan magrib dikumandangkan sedangkan kita dirumah sedang memilih makanan apa yang hendak aku makan dahulu. Kita tidak pernah risau tentang makan tapi kita risau takut kekenyangan akibat terlalu lebih makanan yang diisikan kedalam perut kita.


Apakah puasa kali ini benar-benar telah menginsafkan diri kita dan menjadikan kita benar-benar bersyukur kepada Allah swt. Apakah kita merasai perintah Allah swt ini untuk mendidik diri kita agar kita mencari keampuanan dari Allah dan juga mengajar kita untuk mendapatkan taqwa kepada Allah swt. Apakah sedikit kesukaran ini dirasakan sebagai suatu latihan yang amat bermakna untuk kehidupan diri kita? Atau mungkin kita perlu bertanya apakah kebaikan dan kelebihan yang telah kita perolehi buat diri kita sepanjang hampir 25 hari berlalu. Sekiranya ada mungkin boleh ditingkatkan lagi, sebaliknya jika tiada mungkin inilah masanya kita cuba melakukan sebaik mungkin sebelum masa yang diberikan kepada kita tamat dan menemui kematian atau sebelum bulan puasa ini berlalu. Allah hu alam

0 comments: