Tuesday, February 23, 2010

Tempat Letak Kereta

Assalammualaikum dan salam sejahtera



Tempat letak kereta menjadi tajuk perbualan dikalangan anggota, ramai yang telah mendapat banyak saman apabila meletakkan kereta di tepi jalan sepanjang jalan di pejabat. Ada yang dah dua inci tebalnya surat saman yang diterima, ada yang dah lali dan tidak kisah apabila menerima saman saban hari. Saman sudah tidak digeruni kerana dah nak buat macam mana, sudah tiada tempat untuk letak kereta, terima sahajalah saman yang diberikan. Ada juga yang menakut-nakutkan dengan berkata nanti akan datang tuntutan dari majlis bersama dengan surat peguam dan sebagainya. Ada juga yang merasa takut dan mencari jalan lain dengan datang awal untuk mendapatkan tempat letak kereta yang disediakan. Namun untuk mendapatkan tempat letak kereta yang akan penuh sebelum jam 8 pagi memerlukan suatu perubahan untuk bangun lebih awal dan keluar rumah sebelum subuh lagi dan solah subuh apabila tiba di pejabat sebelum jam 7 pagi.



Kita akan sanggup melakukan sesuatu yang baru apabila ada desakan dari dalam diri, kita juga akan boleh berubah bila ada tekanan atau ketakutan yang lahir dari dalam diri kita sendiri dan tiada siapa yang boleh menghalang apa yang kita mahu lakukan. Mungkin agak ganjil dan pelik jika kita memulakan kerja seawal jam enam pagi hanya kerana mahu mendapatkan tempat letak kereta dan tidak mahu mengalami kesesakkan lalu lintas, namun ianya menjadi suatu yang biasa apabila saban hari kita memulakan perjalanan begitu awal sehinggakan apabila lewat memulakan perjalanan ianya menjadi suatu yang amat disesali didalam kehidupan hari tersebut. Oleh sebab itu kita boleh merumuskan kesukaran itu adalah suatu yang diterima didalam pemikiran kita sahaja, jika kita menyatakan kita susah maka kita akan merasai kesukaran ini, jika kita menyatakan mudah segala yang sukar akan menjadi mudah dan senang.



Adakah kita menyatakan apa yang kita lakukan sukar? Apakah apabila kita diberikan anak kita menyatakan ianya suatu yang sukar? Adakah kita apabila berkahwin berharap untuk mendapatkan cahaya mata dan apabila kita telah mendapatkannya kita mengadu kesukaran untuk membelanya. Namun anak yang kita katakan sukar untuk membelanya, hari demi hari pasti akan berlalu dan akhirnya anak tersebut telah menjadi dewasa. Tetapi adakah kita telah mengambil kesempatan untuk mendidik anak-anak itu dengan sebaik mungkin, apakah hari-hari yang berlalu telah kita gunakan untuk menjadikan mereka sebagai seorang yang mengenal Allah swt? Adakah kita telah menerapkan nilai-nilai agama sehinggakan mereka menjadi manusia yang berjaya didalam pelajaran tetapi juga menjadi manusia yang berjaya didalam kehidupan untuk akhirat mereka nanti.



Apakkah kita akan menjadikan anak kita seperti mereka yang tidak kisah terhadap saman-saman yang telah diterima dengan beranggapan tiada apa yang akan berlaku? Atau kita mendidik mereka agar menyiapkan diri agar takut terhadap saman-saman yang diterima dan berusaha untuk mengubah diri agar mematuhi segala peraturan dan mencuba sedaya upaya untuk berubah bagi mendapatkan tempat letak kereta yang disediakan. Adakah kita benar-benar untuk mengelak saman yang bukan sebarangan kerana saman dari Allah swt adalah saman yang pasti akan dituntut bayarannya. Mampukah kita membayar saman-saman Allah swt ini nanti jika kita terlalu banyak kesilapan yang kita lakukan atau kita sering meletakkan sesuatu di tempat yang tidak sepatutnya sehinggakan di murkai oleh Allah swt. Marilah kita memikirkan tindakan kita adakah kita sentiasa meletakkan sesuatu ditempat yang sepatutnya dan tidak melakukan kesilapan demi kesilapan yang disengajakan. Allah hu alam.

0 comments: