Thursday, November 12, 2009

Cinta Membara Perlu Dirasai


Assalammualaikum dan salam sejahtera,



http://kalamiar.blogspot.com/2009/09/temuduga-jawatan-kosong.html


Cinta sejauh mana membara didalam hati, cinta perlu sentiasa membara, tanpa cinta kehidupan ini seperti mati, tidak tahu apakah yang diingini, hanya orang yang sedang bercinta sahaja yang akan mempunyai semangat yang tinggi untuk melakukan apa sahaja demi membuktikan cinta. Tidak kira siapa sahaja cinta perlu menjadi daya pendorong yang kuat untuk kehidupan seseorang manusia. Cinta seorang suami dengan seorang isteri sejauh mana terus membara, cinta seorang ibu dengan seorang anak dan sebaliknya sejauh mana berkekalan, cinta seorang abang kepada seorang adik sejauh mana berpanjangan, cinta seorang kekasih adakah menjejak ikatan perkahwinan.



Terlalu banyak hakikat cinta namun adakah kita merasakan cinta kepada pencipta Allah swt, adakah kita merasakan cinta kepada Allah swt sehinggakan merasakan cinta tersebut? Merasakan kasih dan sayangnya dengan memberikan kita kesedaran dan merasakan betapa beruntungnya apabila mendapat kesedaran tersebut didalam kehidupan kita. Mungkin amat jarang kita memperkatakan tentang cinta kepada Allah swt. Namun itu adalah suatu yang akan memberikan kedudukan kita disisi Allah swt, kita mungkin menangis kerana di tinggalkan kekasih tetapi adakah kita menangis apabila tidak dicintai Allah swt? Kita mungkin tertekan perasaan apabila orang yang dikasih pergi dipanggil tuhan tetapi adakah kita tertekan perasaan apabila Allah swt meninggalkan kita dengan jauhnya kita dari Allah swt.



Kita mungkin tergambar, terbayang, termimpi-mimpi orang yang kita kasihi tapi adakah kita sentiasa terbayang janji-janji Allah swt yang begitu indah untuk hambanya yang dikasihi, janji-janji siksaan yang perlu ditakuti bagi sesiapa yang lupa kepadanya atau menolak cintanya. Bukti cinta Allah swt terlalu banyak didalam kehidupan diri kita, diri kita sendiri adalah bukti cinta Allah swt, menjadikan kita sesempurna makhluk kejadian, mempunyai pemikiran dan perasaan namun pemikiran dan perasaan tidak mampu untuk kita menilai cinta Allah swt kepada diri kita. Begitu banyak hadiah-hadiah yang telah diberikan kepada diri kita, tidak terhitung hadiah demi hadiah pemberian dari Allah swt kepada diri kita namun adakah hadiah-hadiah itu kita jaga dengan sebaik mungkin untuk kita bawa kembali bertemu dengan Allah di kemudian hari.



Hadiah seperti anak, isteri, rakan taulan, pekerjaan dan apa sahaja yang kita milik adalah hadiah dari Allah swt, Allah swt yang memberikan dan Allah swt juga mampu untuk mengambilnya semula dari kehidupan kita. Namun adakah kita mengucapkan terima kasih diatas hadiah yang begitu banyak sehingga tidak mampu untuk dihitung dan dibilang. Kita perlu benar-benar membalas cinta yang diberikan dengan mencintai Allah swt melebihi segala-galanya dan diiringi dengan cinta kepada diri rasulullah saw. Jika cinta ini bersemarak didalam diri semua yang sukar menjadi mudah, penuh dengan kemaafan, penuh dengan ceria, hidup penuh dengan bermakna, tiada kerisauan, tiada ketakutan, tiada penyesalan dan yang ada adalah keindahan yang perlu dinikmati. Kesukaran adalah suatu perjalanan untuk membuktikan cinta yang hakiki, apa sahaja halangan adalah ujian untuk pembuktian cinta kepada ilahi, mungkin inilah cinta para sahabat kepada Allah swt dan rasulullah saw sehinggakan kehidupan ini begitu mudah, tidak mementingkan kekayaan, tidak mementingkan keselesaan, tidak mementingkan diri, yang dipentingkan adakah nilai-nilai Allah swt diutamakan didalam kehidupan, sunnah di ikuti dan dilaksanakan didalam kehidupan. Allah hu alam.

0 comments: