Monday, October 5, 2009

Adakah Peringatan Mencuit Hati

Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Adakah peringatan sering kali diberikan kepada kita? Berapa ramai rakan yang mahu memberikan peringatan kepada kita? Adakah kita tersentuh hati apabila peringatan diberikan kepada diri kita? Berapa banyak peringatan yang telah diberikan kepada kita yang menyebabkan diri kita berubah dan mahu memperbaiki keadaan yang ada? Berapa banyak pula peristiwa yang berlaku di muka bumi ini kita ambil sebagai peringatan untuk kita? Berapa banyak pula teguran dari Al Quran yang kita ambil sebagai peringatan untuk diri kita? ATAU kita sentiasa sepi dan tidak mengambil kisah tentang segala peristiwa atau peringatan yang telah diberikan kepada kita dengan beranggapan segala yang berlaku perlu berlaku dan itu semua adalah perkara biasa didalam kehidupan. Saban hari begitu banyak peristiwa yang sentiasa mengingatkan diri kita agar kembali kepada Allah swt.


Semua yang berlaku adalah dari Allah swt dan allah swt telah menentukan apakah yang mungkin berlaku kepada hamba-hambanya. Seorang anak diarahkan oleh ayahnya berdagang dan dibekalkan dengan sejumlah modal. Anak itu merantau dan didalam perjalanannya ia bertemu dengan seekor serigala yang begitu lemah tubuh bandannya dan tiada upaya untuk mencari makan. Ia berfikir bagaimanakan serigala ini mahu meneruskan hidupnya?


Tiba-tiba ada seekor singa membawa binatang buruan dan makan binatang buruan terseebut berhampiran dengan serigala tersebut. Apabila telah kenyang maka singa itu meninggalkan sisa makanan tersebut dan serigala tadi dapat makan buat dirinya. Anak tersebut berkata sesungguhnya rezeki telah di tentukan dan aku tidak perlu berusaha. Ia kembali kepada ayahnya dan menjelaskan peristiwa itu kepada ayahnya. Ayahnya berkata, “Mengapa kamu memilih untuk menjadi serigala? Bukankah lebih baik menjadi singa yang boleh memberikan makan kepada banyak serigala”. Pilihan di tangan kita dan kita bertanggung jawab diatas apa yang kita pilih, apakah kita memilih untuk melakukan yang terbaik kerana kita berasa malu yang Allah swt sentiasa melihat kita dan kita perlu bersyukur dengan melakukan yang terbaik disebabkan begitu banyak kebaikan yang telah diberikan kepada diri kita untuk hidup di dunia ini.


Peringatan adalah sebahagian dari kasih dan sayang Allah swt kepada kita untuk kita merasakan keperluan kembali kepangkal jalan. Bumi mana yang tidak di timpa hujan, lidah mana yang tidak tergigit, kesilapan mungkin telah dilakukan, namun pengampunan dari Allah adalah suatu yang telah disediakan oleh Allah untuk melihat sejauh mana hamba-hambaNya berharap dan memohon kepada Allah swt. Kehidupan yang kita katakan indah akan pasti musnah, kekayaan yang melimpah ruah pasti akan ditinggalkan, nama yang dibanggakan pasti akan dilupakan jika semuanya tidak di hubungkan dengan perjuangan kerana Allah swt. Marilah kita kembali untuk memperbaiki yang silap, membetulkan yang sengit, meluruskan yang bengkok semuga kehidupan kita penuh kebahagian. Amin

0 comments: