Friday, February 12, 2010

Perkataan Mempunyai Tenaga

Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Perkataan sering digunakan didalam berkomunikasi, amat sukar untuk tidak berkata-kata sepanjang hari dan ianya menjadi mustahil atau suatu yang pelik jika kita berazam untuk tidak berkata-kata pada satu-satu hari. Apa sahaja yang mahu dimaklumkan atau diberitahukan kepada orang lain amat mudah dengan mengunakan perkataan, namun apakah perkataan yang digunakan akan memberikan kesan yang mendalam kepada seseorang yang mendengarnya atau tidak. Samada kita sedar atau tidak perkataan mempunyai kuasa yang tidak dapat kita bayangkan. Dengan mengunakan perkataan yang betul akan memberikan kesan atau natijah yang berbeza terhadap komunikasi dan tindakan yang lahir akibat dari perkataan yang digunakan.



Sebagai contohnya jika kita mengunakan perkataan yang bermotivasi didalam komunikasi harian kita, orang yang mendengar akan merasakan tenaga yang kita salurkan kepada mereka, kita mungkin akan menceriakan kehidupan mereka, kita mungkin akan mengubah sedikit sikap mereka untuk lebih positif. Sebaliknya jika kita mengunakan perkataan yang negetif, mereka menjadi begitu malas untuk berkomunikasi dengan diri kita, merasakan meluat dan apa sahaja yang ingin kita katakana akan ditolak oleh mereka sebelum kita habis berkata-kata. Bukankah suatu kerugian kepada diri kita kerana kita mahu berkomunikasi tetapi komunikasi kita sentiasa terhalang kerana kita tidak pandai memilih bahasa atau perkataan yang bersesuaian didalam berbicara.



Jika kita selalu memperkatakan yang baik-baik kepada anak-anak kita seperti “Ayah percaya Ali boleh melakukan lebih baik lagi”, “Cuba lagi kegagalan ini adalah dugaan untuk menjadikan Ali lebih matang dalam kehidupan”, “Belum tiba masanya, kejayaan akan pasti datang apabila Ali berusaha”, “Bukan senang nak senang, kalau takut susah, susah nak senang, Ayah yakin Ali mampu melakukannya”, Jika perkataan seperti itu diberikan kepada anak-anak kita tentu sekali mereka lebih menghormati kedua ibubapanya dan akan berusaha untuk mengubah keadaan diri mereka kepada lebih positif.



Sebaliknya jika kita mengunakan pendekatan negetif seperti memarahi, mengherdik dan merendah-rendahkan kemampuan dirinya. Tentu sekali sedikit demi sedikit jiwa dan perasannya akan terkesan dan menjadikan anak-anak kita seorang yang lemah semangat, seorang yang rendah diri dan tidak mengenal apakah erti kejayaan didalam kehidupan mereka, mungkin mereka akan menjadi murung, tidak ceria dan ketakutan apabila melihat kedua ibubapanya. Oleh sebab itu marilah kita mengunakan perkataan yang bersesuaian dan memilih untuk memikirkan perkataan yang akan menjadikan seseorang akan merasakan tenaga yang diberikan oleh kita agar mereka merasakan betapa beruntungnya mendampingi diri kita. Perkataan mempunyai tenaga yang akan membawa seseorang kepuncak kejayaan, mencari kebahagian memerlukan pengorbanan dan setiap pengorbanan perlu diiringi dengan perasaan cinta yang mendalam, sejauh manakah kita mencintai orang-orang disekeliling kita kerana sekiranya kita benar-benar mencintai, kita tidak akan mampu untuk menghiris hati-hati mereka. Bak kata pepatah melayu “Perkataan itu lebih tajam dari mata pisau” Semuga kita diberikan kemampuan oleh Allah swt untuk mengubah kehidupan kita agar sentiasa mencari yang terbaik dan yang terbaik adalah apabila kita bermula untuk mengubah kehidupan kita sendiri mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah swt. Amin.

0 comments: