Apa guna wasiat, adakah sebagai suatu yang menjadi mesti bagi orang yang akan pergi menemui kematian meninggalkan wasiat? Adakah kita juga ingin meninggalkan wasiat apabila kita hampir menemui kematian. Mengapa kita ingin berwasiat, mungkin untuk membahagikan harta yang akan kita tinggalkan buat mereka yang kita sayangi. Apakah dengan berwasiat begitu kita telah berpuas hati dan akan melalui kematian dengan penuh kesenangan dan kepuasan.
Tentu sekali kita mahukan agar wasiat kita dipatuhi oleh mereka yang akan ditinggalkan, kita mahu orang yang kita tinggalkan mengikuti wasiat kita semuga mereka mendapatkan yang terbaik didalam kehidupan mereka. Imam Syafie meninggalkan 10 wasiat untuk kita perhatikan, kalau kita semak dan Hayati serta amalkan, ianya akan menyelamatkan kita di dalam perjalanan menemui Allah swt, tetapi bagaimanakah sikap kita bila menerima wasiat ini. Kita selalu berfikiran bahawa seorang pekerja perlulah mempunyai sifat-sifat komitment yang tinggi, sikap yang baik, jujur dan banyak lagi sifat-sifat yang mulia yang mahu kita terapkan kepada pekerja. Bagaimana sikap kita terhadap kerja-kerja yang akan kita bawa untuk bertemu dengan Allah swt, apakah kerja-kerja kita ini adalah kerja-kerja yang terbaik dan sempurna yang telah kita lakukan.
Kita boleh menjadi pegawai yang cemerlang, tetapi perlu juga cemerlang di sisi Allah swt, kita boleh menjadi pegawai yang prihatin tetapi perlu juga menjadi hamba yang perihatin terhadap suruhan Allah swt. Kita meninggalkan wasiat kerana kita mempunyai harapan dan harapan itu belum kesampaian, kita mahu apabila kita pergi menemui Allah swt nanti, mereka-mereka yang ditinggalkan akan melaksanakan apa yang tidak kesampaian untuk dilaksanakan oleh kita menjadi suatu kenyataan. Namun apakah ia akan terlaksana? Kita mungkin mahu anak kita tidak meninggalkan solat, mahu mereka solat di awal waktu tetapi adakah mungkin mereka dapat melakukannya sekiranya semasa kita hidup kita sendiri tidak mampu melakukannya.
Kita terlalu banyak tugas dan tanggung jawab, tugas kepada syarikat, tugas kepada masyarakat, tugas kepada keluarga, tugas kepada rakan dan lain-lain lagi. Tetapi adakah kita terfikir diantara banyak-banyak tugas tersebut adakah tugas itu akan menyelamatkan kita di akhirat nanti, kalau kita berkerja di pejabat dapatkah kita menghubungkan agar kerja-kerja itu akan memberikan kebaikan kepada kehidupan kita di akhirat nanti. Jika kita dapat menghubungkannya dan sedar akan tanggungjawab tersebut sebenarnya untuk mencari keredaan Allah swt maka beruntunglah kehidupan dan peranan yang kita laksanakan. Sebaliknya sekiranya kita melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang menyebabkan kita lupa kepada Allah swt maka kita perlu berfikir kembali agar apa yang kita lakukan akan mendapat kebaikan dari Allah swt. Allah hu alam
-----------------------------------------------------------------------------------
10 Wasiat Imam Syafie
SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:
"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."
PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.
KETIGA : HAK KEPADA KUBUR
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.
KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.
KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.
KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
0 comments:
Post a Comment