Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Jam sering mengingatkan kita tentang waktu, berbagai-bagai jenis jam yang digunakan, ada jam dinding, jam meja, jam tangan dan dimana sahaja kita boleh melihat jam digunakan untuk memberikan mengunanya untuk menepati waktu atau janji yang dilakukan. Tidak kira apa jenis jam yang dipakai, yang penting adalah ketepatan waktunya. Ada yang begitu setia dengan jam yang dipakai sehinggakan tidak pernah ditukarganti walaupun kelihatan buruk dan usang. Ada pula orang yang salih berganti jam yang digunakan disebabkan mengikut perubahan fesyen semasa. Namun yang penting adalah waktu yang diberikan adakah tepat atau tidak.
Jika ditanya pada seseorang yang telah memakai jam tersebut selama 5 tahun, apakah bilangan jarum pada jam tersebut, apakah bentuk nombor yang digunakan, apakah jenamanya, berapa butang di tepi jam dan adakah mempunyai tarikh dan sebagainya yang kelihatan dimuka jam tersebut. Tentu sekali banyak kesilapan yang berlaku, kalau dilukiskan muka jam dan dibandingkan dengan jam sebenar baru kita menyedari bahawa selama ini kita tidak kisah dengan jam yang kita miliki, kita tidak tahu apakah secara detail bentuk jam kita kerana kita mengutamakan waktu yang diberikan oleh jam tersebut sahaja. Apakah mungkin begitu juga yang kita lakukan terhadap keluarga kita sendiri, mungkin disebabkan terlalu lama bersama dengan keluarga kita, kita kadang kala tidak kisah samada berlaku perubahan didalam diri isteri atau perubahan didalam diri anak-anak kita. Kita hanya akan tertanya-tanya apabila isteri atau anak kita tiada, semasa kita memerlukan sesuatu yang biasa mereka berikan kepada diri kita. Sebagai contohnya jika isteri kita selalu menyediakan masakan malam dan bila pulang kita selalu makan dan tidak bertanya kemana perginya. Bila suatu hari bila balik dan mendapati makanan tiada diatas meja baru kita bertanya kepada anak-anak dimana emak mereka. Kalau ada makan mungkin kita tidak akan bertanya dan terus makan, makanan yang terhidang tanpa bertanya samada isteri kita sudah makan atau belum.
Kita melihat mereka seperti melihat jam yang memberikan fungsi yang tertentu kepada kehidupan kita. Kesihan isteri, anak, emak, kawan dan sesiapa sahaja yang bergaul dengan kita kita layan seperti kita melihat jam yang kita punyai. Kita tidak kisah kerana kita merasakan segala-galanya adalah milik kita tanpa merasai ianya adalah milik Allah swt, Allah swt boleh mengambil apa sahaja yang diberikan kepada kita sebagai pinjaman dan kita sepatutnya merasakan bahawa segala apa yang kita ada adalah suatu yang diberikan pinjaman oleh Allah swt untuk melihat bagaimana kita menguruskannya dengan sebaik mungkin. Sekiranya kita mempunyai isteri sejauh mana kita mendidik mereka agar mereka menjadi isteri yang soleh dengan mentaati Allah swt dan melakukan perkara-perkara yang menyebabkan mereka mengasihi dan akan dikasihi oleh Allah swt. Sekiranya kita tidak melihat mereka seperti jam kita akan memastikan bahawa mereka mempunyai ilmu yang sentiasa bertambah dari semasa kesemasa, kita pasti akan menentukan perubahan demi perubahan akan berlaku kepada diri isteri, diri anak-anak untuk menjadi lebih baik dari semalam didalam kehidupan yang sementara ini. Kita akan memastikan benar-benar mereka akan mendapatkan kebaikan dan kebaikan yang sebenarnya adalah apabila kehidupan itu mendapat keredaan Allah swt, kita tidak akan mampu melakukan perubahan jika kita sendiri gagal merubah diri kita sendiri.
Perubahan sentiasa berlaku tanpa kita sedari, namun diri kita sentiasa lalai terhadap perubahan yang ada sehinggakan kita tidak menyedari adakah kita berubah kepada lebih baik atau berubah kepada lebih buruk. Namun masa yang berlalu pasti akan memaklumkan kepada diri kita bahawa perubahan yang berlaku adalah perubahan yang buruk atau perubahan yang baik tetapi segala-gala telah terlewat sekiranya kita tiada perancangan untuk menjadikan diri kita lebih baik kerana masa yang kita ada hanya sebentar iaitu satu saat. Satu saat untuk melakukan yang terbaik dan setiap saat yang baik akan memberikan keputusan yang baik untuk suatu masa yang panjang. Keputusan milik kita dan marilah kita bermula untuk melakukkan yang terbaik dan tidak seperti melihat muka jam. Allah hu alam
Wednesday, March 10, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment