Wednesday, March 24, 2010

Teguran Merupakan Hadiah

Assalammualaikum dan salam sejahtera.



Teguran merupakan hadiah kepada kita? Satu persoalan yang mungkin perlu difikirkan didalam diri kita kerana berapa ramai sebenarnya diantara kita bersedia menerima teguran dari orang lain. Seorang suami atau isteri juga kadang kala begitu sukar menerima teguran dari pasangan mereka masing-masing, seorang Ketua tidak mudah ditegur oleh pekerja, begitu juga kita sukar menerima teguran dari rakan-rakan pada sesuatu ketika kerana kita selalu merasakan diri kita sempurna sesempurnanya. Walaupun kita sedar kita telah melakukan kesilapan kita masih lagi tidak bersedia untuk di tegur atau kalau ditegur kita berharap agar mereka yang menegur kita itu mengunakan pendekatan yang boleh menjaga hati kita dan tidak menguris perasaan kita.



Kita juga sering menegur orang lain kerana kita merasakan kesilapan yang dilakukkan oleh seseorang itu amat perlu ditegur agar ianya tidak berulang lagi dilain kali, mungkin tujuan kita menegur itu ikhlas untuk kebaikan mereka dan mungkin kita menegur mereka kerana inilah peluang untuk mengenakan atau menghina mereka, atau kita menegur secara spontan sebab kita hanya mahu perkara tersebut tidak berlaku dengan perasaan marah yang tidak dapat terkawal. Bagaimanakah respon orang yang ditegur? Mereka merasakan mendapat hadiah dari kita? Atau mereka merasakan suatu pukulan atau hinaan yang tidak dapat diterima oleh diri mereka? Mari kita fikirkan adakah kita bersedia untuk menerima teguran sekiranya disampaikan dengan sikap kasar dan tidak bersopan santun. Sekiranya kita sendiri tidak menyukainya, maka orang lain juga sama seperti diri kita, kita perlu belajar bagaimana untuk menegur dengan cara yang terbaik dan apabila kita menegur perlu disertakan dengan perasaan ikhlas dan kasih sayang. Ini akan memberikan perasaan keterbukaan didalam hati orang yang menerima teguran tersebut dan menjadikan ikatan kasih sayang kerana teguran itu menuju kepada hati bukan pemikiran.



Mengapa kita perlu merasakan kita mendapat hadiah bila ditegur oleh seseorang? Adakah kita sedar bila kita ditegur, seseorang itu mungkin mengambil begitu banyak perkiraan untuk mengeluarkannya dari mulut mereka, apa lagi bila teguran itu dilahirkan dengan sikap yang baik dan bersopan santun. Mungkin juga teguran dikeluarkan dengan sikap yang kurang ajar pada pemikiran kita dan ingin melepaskan geram mereka kepada diri kita. Tetapi adakah kita sedar bahawa dengan teguran itu kita akan menginggatinya sampai bila-bila dan kita akan lebih berhati-hati agar perkara itu tidak akan berulang lagi. Mungkin mereka telah lupa selepas menegur diri kita tetapi ianya menjadi pengajaran kepada diri kita sampai bila-bila dan mungkin akan menyelamatkan diri kita suatu hari nanti kerana kita sentiasa mengingati teguran tersebut sehinggakan menjadikan panduan kehidupan yang amat berharga sekali. Mungkin juga kita menerima teguran dari orang yang mengasihi diri kita seperti ibu dan ayah, kadang kala teguran yang diberikan begitu spontan dan tidak menjaga langsung perasaan diri anaknya, tetapi adakah kita sedar mereka menegur itu adalah diatas perasaan kasih sayang yang tidak terhingga sebagai seorang ibu dan ayah tetapi mereka memang ditakdirkan tidak begitu pandai didalam menegur dan berkomunikasi. Hati mereka putih bersih, sebersih salji namun kita tidak menyedarinya. Hanya kita yang sentiasa tidak bersyukur.



Mungkin kita tidak menyedari kita dikasihi, dicintai namun dari masa kesemasa, seseorang yang menyayangi dan mencintai tidak akan berputus asa untuk membentuk diri kita agar sentiasa menjadi yang terbaik. Cinta Rasulullah saw kepada umatnya begitu besar sekali sehinggakan segala-galanya demi umat yang ditinggalkan, namun umatnya sering lupa kepada Rasul saw yang sentiasa mencintai mereka. Mungkin ini dikatakan cinta yang tidak berbalas kerana kita tidak sanggup melakukan perubahan demi yang dicintai. Maka adakah patut kita berharap menjadi kelompoknya sekiranya kita sendiri tidak tahu membalas cintanya. Marilah kita sama-sama berubah agar menjadi manusia yang dikasih Allah dan rasulnya, berkasih dan bercinta untuk mendapat keredaan dari Allah swt. Amin

0 comments: