Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Bersyukur sesuatu yang mudah untuk diperkatakan, saya bersyukur kerana mendapat kejayaan didalam peperiksaan, saya bersyukur kerana mendapat cahaya mata, dan banyak lagi ungkapan-ungkapan bersyukur yang pernah kita perkatakannya. Namun apakah kita benar-benar bersyukur dalam erti kata sebenarnya? Suatu persoalan yang hanya boleh dijawab oleh Iman seseorang, semakin tinggi iman seseorang semakin banyak bukti-bukti kesyukuran akan di lahirkan didalam kehidupan. Semakin tipis keimanan maka kesyukuran tersebut sekadar lahir di bibir dan tidak akan dapat dilihat didalam tindakan kehidupan yang dilalui yang membuktikan dia benar-benar bersyukur.
Bagi mereka yang benar-benar bersyukur tentu sekali tidak akan mensia-siakan segala peluang dan pemberian oleh Allah swt tersebut. Sekiranya lulus peperiksaan tentu sekali beliau akan mengunakan kelulusan itu untuk mencari pekerjaan yang diredaai Allah swt dan berkerja dengan bersungguh-sungguh untuk membuktikan terima kasih diatas pemberian Allah swt tersebut. Tiada rasa bangga dan bongkak dihatinya kerana beliau tahu segala yang dicapai walaupun atas usaha sendiri tetapi adalah pemberian dari Allah swt. Sekiranya mempunyai anak tentu anak-anak itu akan di didik dengan baik kerana merasakan suatu tanggungjawab kepada Allah diatas hadiah yang begitu cantik dan sempurna. Semuga hadiah yang memberikan kegembiraan itu akan terus dapat memberikan kebaikan bukan sahaja di dunia malah menjadi harta yang amat-amat bermakna diakhirat nanti.
Mari kita merenungkan sesuatu yang mungkin dan telah diberikan oleh Allah swt kepada diri kita. Apakah yang akan dan telah kita perbuat terhadap hadiah tersebut? Apakah kita telah dan akan menjaga sahaja sebaik mungkin? Apakah kita telah dan boleh menjadikan hadiah itu untuk kita mendekatkan diri kita dengan Allah swt? Apakah dengan hadiah itu telah dan akan menambah dosa-dosa kehidupan? Apakah sekiranya kita mendapat kesusahan kita akan menyalahkan orang lain diatas keputusan yang telah kita lakukan? Semua ini perlu dijawab oleh iman dan apabila kita memperkatakan iman perlu menjawabnya maka iman tidak akan dibiarkan begitu sahaja, ianya akan diiringi oleh ujian demi ujian untuk benar-benar memastikan kita betul-betul berserah diri kepada Allah swt. Begitu mudah untuk mencoretkan kata-kata namun segalanya adalah suatu perjalanan kehidupan untuk menemui kematian.
Untuk merasakan mendapat yang terbaik sentiasa didalam kehidupan memerlukan persediaan, begitu banyak persediaan yang perlu disediakan dan kita perlu bermula dengan ilmu pengetahuan terhadap Allah swt agar akidah menjadi jelas yang akan memandu kehidupan. Dengan jelasnya akidah penyerahan akan menjadi total dan segala ujian menjadi suatu yang mudah untuk dilalui walaupun sukar pada orang lain. Tidak semua orang terpilih untuk melalui sesuatu ujian tetapi apabila terpilih kita perlu menjawab ujian itu dengan betul dan sempurna agar sentiasa lulus dengan cemerlang dan berjaya. Seorang pelajar perubatan tidak akan dibenarkan untuk mengambil peperiksaan kejuruteraan kerana ia tidak layak dan tidak ada persediaan. Allah swt yang maha mengetahui, maha pengasih, maha penyayang, maha adil, maha sempurna apabila memilih seseorang untuk diuji maka tentu sekali ia mengetahui orang tersebut layak dan ada persediaan namun samada lulus dengan cemerlang adalah keputusan yang diambil oleh hamba-hambanya dan mereka akan dipertanggungjawabkan diatas keputusan yang telah mereka ambil. Marilah kita sama-sama menjaga begitu banyak hadiah yang telah dan akan diberikan kepada kehidupan kita untuk diuji oleh Allah swt. Allah hu alam.
Thursday, May 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment