Wednesday, April 22, 2009
Membenci atau Menyukai, Adakah Perlu...
Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Mengapa kita sering memikirkan sesuatu perkara didalam kehidupan kita? Kita fikirkan kerana kita mungkin terlalu benci atau kita mungkin menyukainya. Jarang-jarang kita memikirkan sesuatu perkara yang tidak disukai atau tidak kita benci, oleh sebab itu jika kita membenci sesuatu kita perlu lebih berhati-hati agar kita benci dengan asas yang betul kerana Allah swt. Takut nanti apa yang kita benci pula menjadi apa yang kita sukai.
Ada seorang pemuda yang terlalu membenci seorang gadis, segala apa yang dilakukan oleh gadis tersebut sentiasa ada silap dan salahnya pada pandangan pemuda ini. Mungkin disebabkan terlalu memikirkan tentang sikap dan keadaan gadis ini akhirnya lahir perasaan ambil berat dan akhirnya cinta dan perkahwinan. Oleh sebab itu tidak keterlaluan apabila membenci seseorang agar kita mendapat yang terbaik. Mungkin apa yang kita benci itu akan memberikan kebaikan kepada diri kita dan mungkin apa yang kita suka menyebabkan kehidupan kita menderita. Kita hanya manusia yang mampu melakukan sebab-sebab yang memungkinkan berlakunya yang baik dan ketentuan hasil adalah milik Allah swt.
Jika kita memikirkan kita bahagia, sebenarnya ramai lagi manusia yang bahagia, sekiranya kita memikirkan kita derita, tentunya ramai lagi manusia yang kehidupannya penuh dengan deritaan, sekiranya kita berfikir kita telah melakukan begitu banyak kebaikan, ramai lagi orang yang tellah mengorbankan diri mereka untuk melakukan kebaikan didalam kehidupan mereka. Yang penting kita perlu bertanya apakah kebaikan-kebaikan yang telah kita lakukan didalam kehidupan kita yang singkat ini? Apakah begitu banyak harta yang telah kita berikan buat manusia lain? Apakah begitu banyak ilmu yang kita telah kongsikan untuk mengubah kehidupan manusia lain? Apakah kita telah mendidik anak-anak kita agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah yang akan sentiasa mendoakan kita apabila kita mati kelak.
Kita perlu memperhatikan kepada persoalan ini kerana soalan ini akan memberikan begitu banyak perubahan atas penghidupan kita dialam barzah atau di akhirat nanti. Kita mungkin banyak harta sekarang tetapi harta itu tidak boleh di bawa mati. Kita mungkin ada banglo yang besar, kereta besar, isteri yang cantik dan menawan, anak-anak yang menyenangkan namun adakah segala-gala ini akan dapat membantu kehidupan selepas kematian diri kita. Segala-gala akan berpisah kecuali tiga perkara yang telah dibincangkan diatas.
Mari kita semak sejauh manakah persediaan yang telah kita gunakan dan sejauh mana pula kita boleh mengambil pelajaran untuk memperbaiki akan kehidupan kita agar kita sentiasa mengingati Allah swt didalam kehidupan kita. Allah hu alam.
********************************************
PISANG DAN HATI
Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.
Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.
"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.
Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.
Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.
"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.
"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.
Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci.
Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati.. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment