Assalammualaikum dan salam sejahtera,
http://kalamiar.blogspot.com/2009/05/kesedaran-bila-kau-akan-mengusik-hatiku.html
Kadang kala kebenaran begitu sukar untuk diterima didalam kehidupan kerana kebenaran tersebut telah mengubah kepercayaan, kebenaran telah meruntuhkan maruah kehidupan, kebenaran menjadikan kita seolah-olah seperti orang yang bodoh disisi manusia. Namun apabila memperkatakan kebenaran, ia tetap kebenaran yang perlu kita renungkan untuk kita memperbaiki diri kita dan menjadikan diri kita lebih matang didalam kehidupan.
Memang sukar untuk menerima kebenaran terutama kita tidak menyangka apakah sebenarnya yang perlu kita lakukan setelah kebenaran itu kita temui didalam kehidupan kita, kita mungkin terperanjat apabila menyedari bahawa anak kita selalu mencuri duit kita, kita mungkin risau bila kita mengetahui ada antara anak kita yang menunton video lucah, kita mungkin kesal kerana anak kita menipu kita, atau kita mungkin terperanjat bila perkara-perkara yang tidak dijangkan telah berlaku dan ianya diluar jangkaan kita.
Kebenaran tetap berlaku dan segala peristiwa yang berlaku perlu kita terima dengan hati yang terbuka dan melihatnya sebagai suatu ketentuan dari Allah swt. Ianya merupakan suatu ujian untuk melihat sejauh mana kita boleh menerima apa yang berlaku adalah dari Allah swt di disebalik peristiwa itu kita perlu berusaha bersungguh untuk mendapatkan yang terbaik yang kita mampu. Kita perlu berusaha dan terus berusaha sehingga kita Berjaya, sebaliknya sekiranya masih tidak Berjaya kita hanya berusaha dan berdoa dan hanya Allah swt yang menentukan segala-galanya.
Dairi kehidupan suatu yang pasti akan dicatitkan oleh Allah swt untuk kita renungkan dihari akhirat nanti, namun apakah yang kita coretkan peristiwa-peristiwa yang boleh kita banggakan atau kita coretkan peristiwa yang memalukan diri kita, apa kita sanggup untuk melihat tatapan kandungannya atau kita takut untuk melihat apa yang tercatit didalamnya. Kebenaran pasti terselah walaupun kita cuba menyembunyikan dimana sahaja. Kita sembunyikan didalam hati, Allah swt pasti akan membukanya, kita lakukan kerana sesuatu bukan kerana Allah swt juga pasti akan didedahkan. Segala-gala pasti terdedah dan kebenaran pasti akan menyukarkan kehidupan diakhirat sekiranya kita sentiasa berpura-pura. Marilah kita memperbaiki diri kita agar ikhlas dan melakukan sesuatu kerana Allah swt. amin
Beramal dan ibadah perlu dengan keikhlasan
Allah menjadikan manusia untuk beribadah dan memperhambakan diri kepadaNya. Ini jelas dari firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak aku menjadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepadaku”.
Keikhlasan beribadah seseorang kepada Allah adalah bertolak dari niat seseorang itu mengerjakan ibadah tersebut. Ini jelas sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya segala perbuatan yang dilakukan itu dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap manusia apa yang diniatkannya maka barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasulnya maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasulnya dan barangsiapa yang hijrahnya kepada dunia yang ia ingin memperolehinya atau kepada perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu kepada apa yang ia inginkan.”
Setiap ibadah yang kita lakukan seperti sembahyang, puasa, zakat, sedekah dan lain-lain perlu kepada keikhlasan semata-mata kerana Allah kerana keikhlasan hati dalam mengerjakan ibadah adalah menjadi syarat penerimaan ibadah itu oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu.” Dengan ini jelas Allah s.w.t melihat hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang dikerjakan kerana Allah atau sebab-sebab lain.
Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan semata-mata kerana Allah di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak memberi kesan dan tidak diterima oleh Allah s.w.t.
Sabda Rasulullah s.a.w. :“Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya”
Ia juga merupakan landasan yang kukuh di atas mana-mana orang yang melaksanakan bermacam-macam amal dan tugas kebaikan dan sifat keikhlasan itulah pokok segala kebahagiaan. Sesuatu kerja yang tidak keluar dari hati yang ikhlas nescaya tidak menghasilkan buah bahkan mungkin akan merugikan kepada diri sendiri. Orang yang bekerja tanpa keikhlasan dia bekerja hanya untuk lahir sahaja lupa kepada tujuan dan matlamat dia bekerja sedang tiap-tiap amal tanpa ikhlas pasti tidak menghasilkan pahala di sisi Allah.
Orang yang tidak mempunyai keikhlasan hati bererti yang berdiri di tempat gelap tidak mempunyai lampu cahaya untuk meneranginya, tidak mempunyai sayap untuk terbang tinggi, dia bekerja hanya untuk dorongan hawa nafsu sahaja. Cara yang demikian menjatuhkan tuannya ke lembah kebinasaan dan kehinaan. Tuhan memerintahkan kita semua beramal dan beribadat dengan keikhlasan hati. Segala pengabdian diri terhadap Allah hendaklah dilakukan seikhlas-ikhlasnya dengan penuh kebenaran, keadilan, kebijaksanaan dan kesabaran, sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A’raf
Maksudnya: “Hadapkanlah muka kamu dengan lurus, tulus dan ikhlas tiap-tiap mengerjakan sembahyang dan serulah Tuhanmu sambil mengikhlaskan diri kepadaNya”
Dalam surah yang lain Allah menerangkan maksudnya: “Tidaklah mereka diperintahkan kecuali untuk berbakti memperhambakan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan”
Dari ayat di atas kita dapat memahami bahawa Allah memerintahkan kita semua supaya mengabdikan diri kita kepadaNya dengan tulus ikhlas dengan erti kata kita kerjakan sesuatu amalan, sesuatu kerja kerana Allah bukan sekali-kali kerana sesuatu atau seseorang yang lain lebih-lebih lagi kerana kedudukan dan kebendaan keduniaan.
Syeikh Al Khushairi seorang pengasas Tasauf menerangkan bahawa ikhlas itu ialah mengerjakan ibadah kerana ingin memperdekatkan diri kepada Allah s.w.t. bukan kerana untuk mencari kesayangan orang atau sesuatu hal yang lain selain daripada mengtakarufkan diri kepada Allah Tuhan yang menjadikan kita.
Sifat keikhlasan hati itulah yang menjadi pedoman kepada seseorang di dalam pekerjaan atau perkhidmatan. Ianya merupakan alat yang menyampaikan cita-cita yang mulia. Orang yang bekerja dengan penuh keikhlasan hatinya kerana Allah tentunya tidak mudah patah atau putus harapan di tengah jalan. Tidak mudah putus asa, dia tidak akan puas hati sebelum pekerjaan yang dilaksanakannya itu berhasil sepenuhnya. Mereka di dalam bekerja teguh pendirian kuat hemah dan kemahuan, dia tidak akan tersinggung hati lantaraan celaan dan kritikan orang lain. Tidak sombong kerana menerima pujian, tidak bangga kerana dinaikkan pangkat atau mendapat harta yang banyak dan kedudukan yang baik malahan orang yang bekerja dengan ikhlas tetap terus berusaha hingga tercapai yang dicita-citakan dan tidak akan memberhentikan kerja itu walaupun akan menghadapi rintangan, halangan dan menempuh pengorbanan yang besar kerana mereka mengharapkan keredaan Allah yang tidak ada batasannya.
Dalam hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : “Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk”
Demikian caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi. Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan sebagaimana firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Iblis berkata wahai Tuhanku oleh sebab engkau telah memutuskan aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka kecuali hamba-hambaMu yang mengerjakan amal ibadat dengan penuh keikhlasan.”
Untuk dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah bererti:
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nikmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? “Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid”. Allah berkata kepadanya “Engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka.
Adapun yang menuntut ilmu dan telah mengajar pula serta menjadi pembaca Al-Quran, orang ini dibawa ke pengadilan Tuhan di hari kiamat sedang dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Dihadapan Tuhan ditanya apa amalmu jawabnya “Aku banyak membaca Al Quran.” Berfirman Allah kepadanya “Engkau bohong! Engkau menuntut ilmu itu agar dikatakan orang engkau seorang yang alim, engkau membaca Al-Quran itu supaya dikatakan orang seorang Qari dan yang demikian itu telah engkau dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam neraka.
Adapun seorang lelaki yang telah mendapat kelapangan rezeki sebahagian hartanya dibahagikan kepada orang lain kemudian orang itu pun dibawa menghadap Allah untuk dibicarakan dan dia sendiri telah mengetahui nikmat yang akan diterimanya. Di hadapan Allah dia ditanya apa kerjamu dia menjawab “Aku telah membelanjakan hartaku kepada jalan yang engaku redhai dan itu telah aku kerjakan kerana engkau”. Allah telah berfirman kepadanya “Engkau berbohong engkau berbuat demikian itu adalah supaya dikatakan orang engkau seorang pemurah sedangkan yang demikian itu telah dikatakan orang kemudian orang itu pun dihela masuk ke dalam api neraka.”
Demikianlah riwayat hadis tiga jenis orang beramal tidak ikhlas. Amalan mereka ditolak tidak diterima oleh Allah dan akibatnya mereka dicampakkan ke dalam api neraka.
Beramal dan beribadah perlu kepada keikhlasan dan kejujuran dan untuk menjadikan amalan itu agar kekal abadi sempurna lahir dan batin perlulah kita lakukan segala amalan dengan tulus dan ikhlas semata-mata kerana Allah Taala dan hendaklah segala amalan kebajikan yang kita lakukan dapat dilakukan dengan seikhlas-ikhlasnya supaya ianya benar-benar dapat diterima oleh Allah s.w.t. dan dapat meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya. Syurga Allah hanya milik mereka yang taat melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran dan keikhlasan dan merekalah orang-orang yang berjaya dunia dan akhirat. Kejayaan dunia tanpa ketaatan dan keikhlasan kepada Allah hanyalah tipudaya dan perhiasan yang mengasyikkan dan mereka akan rugi-seruginya di akhirat.
Oleh nurjeehan
Monday, July 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment