Tuesday, July 29, 2008

Pengertian Islam, iman dan ikhsan

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Diharapkan agar dapat dibacakan kepada keluarga untuk meningkatkan lagi kepahaman tentang Islam. Bilakah kita mahu bermula, hari ini? Esok atau bila? Keputusan perlu kita lakukan untuk merubah diri kita kearah yang lebih baik, tanpa kita melakukan keputusan kehidupan tetap berlalu dan kematian akan pasti menanti akan diri kita untuk di tentukan amal kita samada Berjaya atau tidak.



Marilah kita bermula untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dengan meneliti hadith rasulullah saw yang begitu menyayangi diri kita dan mahukan kebaikan buat diri kita. Ya Rasulullah saw, kasih mu begitu agung, pengorbanan mu begitu besar dan tidak mungkin dapat diulangi kecuali bagi mereka yang benar-benar menyerahkan diri kepada Allah swt, namun Engkau adalah rasul yang telah membuktikan segala-galanya, dalam apa sahaja, engkau adalah contoh ikutan yang sempurna dan perlu diikuti oleh umatmu.



Ya Allah swt, kau berikanlah kami cinta yang luhur kepada MU, kasih kepada rasul Mu dan sentiasa berharap hanya kepada MU. Jadikanlah kami orang yang ikhlas, yang benar-benar mendirikan solat dan hanya berharap kepada Mu, Ya Allah. Amin



_________________________________________________________________



HADITH: ISLAM, IMAN DAN IHSAN



عن عمر (رضي الله عنه) أيضاً قال: بينما نحن جلوس عند رسول الله (صلى الله عليه وسلم) ذات يوم إذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب، شديد سواد الشعر، لا يرى عليه أثر السفر، ولا يعرفه منا أحد، حتى جلس إلى النبي (صلى الله عليه وسلم) ، فأسند ركبتيه إلى ركبتيه، ووضع كفيه على فخذيه، وقال: يا محمّد أخبرني عن الإسلام؟! فقال رسول الله (صلى الله عليه وسلم) : "الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله، وأن محمداً رسول الله، وتقيم الصلاة، وتؤتي الزكاة، وتصوم رمضان، وتحج البيت إن استطعت إليه سبيلاً"، قال: صدقت. فعجبنا له يسأله ويصدّقه، قال: فأخبرني عن الإيمان؟ قال: "أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره"، قال: صدقت. قال: فأخبرني عن الإحسان؟ قال: "أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك". قال: فأخبرني عن الساعة؟ قال: "ما المسؤول عنها بأعلم من السائل"، قال: فأخبرني عن أماراتها؟ قال: "أن تلد الأمة ربتها، وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء يتطاولون في البنيان"، ثم انطلق. فلبثت ملياً، ثم قال: "ياعمر أ تدري من السائل؟" قلت: الله ورسوله أعلم، قال: "فإنه جبريل أتاكم يعلّمكم دينكم". (رواه مسلم)



Maksudnya:



Daripada Saiyidina 'Umar r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi Sallallahu’alaihiwasallam, lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata:



Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam.



Lalu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.



Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau.



Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya.



Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman.



Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.



Lelaki itu berkata: Benarlah engkau.



Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan.



Baginda bersabda: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.



Lelaki itu bertanya lagi: Terangkan kepadaku tentang Qiamat.



Baginda bersabda: Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.



Lelaki itu berkata: Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.


Baginda bersabda: (Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar.



Kemudian Baginda bertanya: Wahai 'Umar!


Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?



Aku berkata: Allah dan RasulNya lebih mengetahui.



Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.
(Hadis riwayat al-lmam Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Abu Dawud, Ibn Majah dan Ahmad, musnad ).



Keterangan hadith:



1. Kedudukan hadis ini adalah ibu bagi hadis-hadis yang lain. Ia mengandungi penjelasan din secara keseluruhannya.


2. Islam, terangkum di dalamnya ibadah badani, lisani dan maali.


3. Iman mengandungi asas-asasnya, manakala amal adalah sebahagian dari iman.


4. Ihsan adalah satu tingkatan hubungan yang tinggi dengan Allah.


5. Hadith ini membezakan antara sifat Allah dengan sifat makluk. Contohnya Ilmu Allah tidak akan dapat dijangkau oleh makhluk.


6. Hadith ini menjelaskan tanda-tanda kedatangan hari Qiamat.


7. Malaikat Jilbril (Ruh Al-Amiin) adalah utusan Allah yang ditugaskan untuk mengajar Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.



Pengajaran-pengajaran:



1. Din lslam adalah din yang datang dari Allah. Ia adalah agama samawi dan bersifat Rabbani, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek. Kerana itu ia amat sesuai untuk dianuti oleh seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.


2. Hadis ini menerangkan tiga tunggak utama bagi din, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ihsan.


3. Rukun atau prinsip asas lslam lima perkara iaitu:


a. Mengucap dua kalimah syahadah


b. Mendirikan solah lima waktu


c. Membayar zakat


d. Berpuasa di bulan Ramadhan


e. Mengerjakan haji di Baitullahilharam.


4. Rukun atau prinsip asas lman enam perkara iaitu:


a. Percaya atau beriman kepada Allah


b. Percaya atau beriman kepada para malaikat


c. Percaya atau beriman kepada kitab-kitab


d. Percaya atau beriman kepada para Rasul


e. Percaya atau beriman kepada hari Qiamat


f. Percaya atau beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah.


5. Ihsan adalah hubungan yang paling akrab dengan Allah sehingga apabila seseorang hamba itu beribadah maka dilakukan dengan ikhlas, mengikut syara’ dan bersungguh-sungguh seolah-olah dia melihat Allah.


6. Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam dan tuntutannya, menyempurnakan semua rukun iman dan tuntutannya dan bersifat ihsan.


7. lslam seseorang tidak akan sempurna jika hanya diambil dari segi zahir sahaja atau dari segi batin sahaja. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila ia diamalkan keseluruhannya.


8. llmu dalam lslam mestilah dipelajari melalui guru atau murabbi dan berdasarkan sumber-sumber yang benar iaitu Al-Qur’an, As-Sunnah dan penulisan ulama’-ulama’ muktabar. llmu din tidak boleh dipelajari melalui sumber-sumber yang lain seperti mimpi dan sebagainya.


9. Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam untuk bertanya beberapa soalan din. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.


10. Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusia pun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah Subhanahuwata’ala. Sesiapa yang mengaku tahu bilakah berlakunya qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang pendusta.


11. Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri atau ibu menjadi hamba kepada anaknya. Di akhir zaman juga berlaku peristiwa si miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.



(Dari Hadith Arbain, Imam Nawawi)

0 comments: