Thursday, April 22, 2010

Huru-Hara Pejalan Akhirat Adakah Menginsafkan Kehidupan

Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Peperangan seringkali menyebabkan keadaan yang menyukarkan kehidupan. Huru hara akan berlaku dimana-mana sahaja dan amat beruntung hidup di Negara yang tidak mengalami peperangan. Bila menceritakan tentang peperangan daripada orang-orang tua, kita dapat melihat wajah mereka yang menceritakan kesukaran yang dialami oleh mereka semasa peperangan tersebut dan tentunya mereka lebih merasai suasana bahagia hari ini kerana penderitaan semasa perang benar-benar mereka rasai. Kita tentu sekali tidak terbayang dan tidak mahu melalui suasana huru hara semasa peperangan tersebut. Adakah kita sedar kita pasti akan juga melalui suasana huru hara suatu masa akan datang? Suatu suasana yang digambarkan terlalu huru hara sehinggakan kita tidak terfikirkan tentang keluarga kita sendiri, malah ibu tidak memikirkan tentang anak-anak kecil mereka juga kandungan yang sedang mereka kandung.



Begitu hebat keadaan huru hara pada ketika itu sehinggakan kita tidak mampu untuk memikirkan perkara yang berlaku. Keadaan huru hara tersebut digambarkan sebagai suatu peristiwa yang berlaku semasa kiamat nanti, keadaan akan berterusan sehinggakan kita berada dipadang masyar nanti dan apabila kita memikirkan masa yang begitu lama kita sepatutnya berusaha untuk melakukan yang terbaik semasa kesempatan dan peluang masih ada. Dinyatakan satu hari diakhirat bersamaan seribu tahun lamanya di dunia. Jika difikirkan separuh hari atau 12 jam diakhirat bersamaan 500 tahun dan 6 jam sahaja sudah 250 tahun, 3 jam bersamaan 125 tahun dan 1.5 jam bersamaan 62.5 tahun kehidupan di dunia.



Bayangkanlah betapa sengsara dan huru hara yang terpaksa dilalui didalam kehidupan diakhirat nanti dan adalah bijak sekiranya kita mengunakan waktu yang masih ada untuk persediaan menuju kepada akhirat yang bermula dengan kematian. Kita mungkin risau untuk memikirkan kematian tetapi samada kita sedar atau tidak kita sebenarnya telah dijatuhkan hukuman mati, dimana kita pasti mati dan hanya masa yang belum tiba untuk diri kita. Apakah kita mempunyai pemikiran terbuka untuk membetulkan diri kita, memikirkan apakah tujuan kehidupan buat diri kita, apakah kita akan dibiarkan begitu sahaja tanpa ada balasan terhadap apa yang kita lakukan didunia ini? Sekiranya kita memikirkan tiada balasan tentu sekali tidak munasabah kerana orang-orang yang melakukan keburukan tentu tidak akan dilepaskan begitu sahaja kerana walau sebesar zarah sekali pun akan diberikan balasan.



Siapakah yang sanggup melaburkan sesuatu untuk kesenangan yang abadi? Persoalan ini hanya akan dijawab oleh orang-orang yang yakin benar-benar kepada Allah swt. Keyakinan dan keimana yang teguh dan tidak ada keraguan walaupun sebesar zarah terhadap Allah swt. Perasaan cinta terhadap Allah swt dan rasul saw yang dijelmakan didalam pemikiran, perasaan dan tindakan kehidupan. Sejauh mana cinta itu maka sejauh itulah pengorbanan akan dilahirkan dan marilah kita mula belajar untuk mencintai Allah swt dan juga rasulullah saw dengan menambahkan ilmu pengetahuan kita tentang sirah perjuangan rasulullah saw dan juga para sahabat agar kasih dan cinta mereka mengalir kepada hati-hati kita dan semuga kita diberikan petunjuk dan Hidayah oleh Allah swt. Amin

0 comments: