Wednesday, April 7, 2010
Rumah Pilihan Hati
Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Rumah sentiasa diperkatakan oleh ramai orang terutama apabila usia meningkat didalam kehidupan, ada yang menginginkan rumah banglo ada yang mahukan rumah yang mempunyai enam bilik, ada yang mahu membeli rumah yang sedang disewa oleh mereka dan ada yang masih tidak memikirkan tentang rumah yang akan mereka duduki dimasa akan datang. Namun samada sedar atau tidak rumah adalah suatu yang menjadi keperluan didalam kehidupan, semua orang mahukan rumah yang selesa untuk didiami. Rumah tidak kira kecil atau besar, indah atau hodoh, kosong atau penuh dengan barang, murah atau mahal semuanya bertujuan untuk melindungi penghuni bagi keselamatan apabila berada didalamnya.
Ada juga orang yang memiliki rumah yang begitu besar dan indah, kita tentunya menyangka alangkah seronoknya, alangkah bahagianya, alangkah nikmatnya kerana memiliki rumah yang sebegitu indah dan besar. Namun keindahan dan besarnya rumah tidak menjaminkan ketenteraman kepada penghuni rumah-rumah tersebut. Apakah sebenarnya ketenangan didalam kehidupan ini? Apakah dengan harta yang banyak akan memberikan ketenangan kehidupan? Apakah dengan rumah yang cantik dan selesa dapat memberikkan jiwa yang tenteram? Persoalan ini berbalik semula kepada suatu persoalan yang penting yang perlu dijawab oleh semua manusia, persoalannya adalah apakah sebab-sebab kita dijadikan oleh Allah swt di atas muka bumi ini. Adakah kita dijadikan untuk makan dan minum, membiarkan usia yang diberikan berlalu untuk mendapatkkan rezeki, mendapatkan isteri-isteri, anak-anak dan kemudian menemui kematian? Tentu sekali ada tujuan yang lebih besar yang telah ditentukan oleh Allah swt untuk kejadian kehidupan diri kita.
Di dalam Al Quran dijelaskan ”Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (Az zariyat:56) Dengan jelas Allah swt menjelaskan peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan didalam kehidupan. Apakah kita berusaha untuk mendapatkan rumah ini untuk beribadah kepada Allah swt? Apakah segala yang kita lakukan untuk beribadah kepada Allah swt? Apakah segala perbincangan, tindakan dan perbuatan kita bertujuan untuk mendapat ibadah kepada Alla swt? Tentunya persoalan ini begitu besar kerana jawaban yang betul akan memastikan jenis rumah yang ingin kita miliki di akhirat kelak. Kita perlu mempunyai cita-cita rumah jenis apakah yang ingin kita miliki di akhirat kelak, apakah kita mahu rumah murah atau rumah teres atau rumah banglo. Jika rumah murah mungkin usaha untuk mendapatkan modal membelinya tidak begitu besar kerana harganya mungkin begitu murah, tetapi jika kita bercita-cita memiliki rumah yang besar indah dan penuh dengan kelengkapan maka usaha yang perlu diberikan mungkin begitu banyak dan besar dan memerlukan pengorbanan yang mungkin kita tidak boleh bayangkan dan masa sahaja yang akan menentukan pengorbanan yang perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Marilah kita fikir-fikirkan apakah keselesaan yang ingin dicari didalam kehidupan diakhirat nanti, apakah kita benar-benar merancang, apakah kita benar-benar berusaha, adakah kita cuba dan telah melakukan yang terbaik. Sekiranya belum atau tidak mencukupi, masa begitu banyak lagi bagi kita kerana masa hanya akan habis apabila kematian itu menjemput diri kita, tetapi masa yang kita katakan banyak itu sebenarnya belum tentu masa kita kerana kita hanya ada masa satu saat sahaja iaitu sekarang. Marilah kita melakukan yang terbaik sekarang dan setiap saat adalah sekarang. Allah hu alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment