Sunyi nampknya pagi ini bila En. Ibrahim tidak menghantar tazkirah....mungkin beliau cuti atau sebuk. Untuk itu sebagai mengantikan pengisian beliau, saya sertakan artikal yg menarik untuk dibaca, difikirkan serta diamalkan untuk kita merenung siapa diri kita, bagimana kita melihat Allah yg ada dlm diri kita….adakah mata kita yang buta atau hati kita yang buta. Pertanyaan ini adalah untuk diri saya sendiri dan juga untuk kulaan semua.
Terima kasih
Buta Mata Atau Buta Hati
January 28th, 2008 by Abu Saif
“Masya Allah… tulisan ‘Allah’ jelas kelihatan di puncak gunung itu!”, terpegun sebahagian kita dengan berita sebegini.
“Kalimah Allah jelas kelihatan di benua Afrika, jika dilihat dengan imej satelit. Subhanallah!” , terlopong segelintir kita dibuatnya.
“Ishh… dahsyatnya. Budak itu lahir dengan tanda ‘Allah’ di telinganya. Mesti budak tu luar biasa dan ajaib!”, komen seorang daripada kita kepada suatu laporan akhbar.
“Subhanallah, lihat tu… Ikan Allah!”
Saya masih tidak faham. Sejak dulu lagi saya memang kehairanan. Mengapakah masyarakat kita sangat obses dengan kemunculan imej yang dilihat sebagai lafz al-jalalah ‘Allah’ di pelbagai tempat. Di langit, di perut lembu, di dalam isi tembikai, di kepala budak, di batang pokok di hutan, di sarang lebah dan entah di mana lagi…
Apakah semua itu keajaiban?
Mungkin ya, tetapi mungkin sangkaan semata.
Tetapi apa yang pasti ialah, mengapa hanya dengan kemunculan benda-benda sebegitu baru kita dapat ‘melihat Allah’. Mengapa tanda-tanda atau ayat Allah itu hanya mampu kita kesan apabila ia muncul sedemikian rupa? Yang sebahagiannya mungkin hanya sangkaan kita semata?
Mengapa kita tidak mampu ‘melihat Allah’ pada hari-hari biasa? Pada kelahiran biasa? Pada awan biasa? Mengapa harus menanti yang luar biasa baru tergerak hati untuk percaya dan peduli kepada-Nya?
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga Kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.[Al-Baqarah 2: 55]
Apakah kita telah dijangkiti dengan penyakit yang sama sebagaimana penyakit yang menimpa Bani Israel? Tidak mampu mendatangkan percaya kecuali dengan garapan pancaindera? Hilang deria melihat apa yang di luar upaya mata? Hanya mahu mempercayai Allah jika Musa memperlihatkan- Nya, sebagaimana mereka memperlihatkan patung anak lembu itu sebagai sembahan?
Atau seperti penganut Kristian yang sentiasa ternganga melihat ‘Virgin Mary’ yang berdarah lantas disangka ‘Bloody Mary’?
Apakah begitu sekali rendahnya nilai iman kita, hingga hanya mampu percaya selepas melihat?
Lupakah kita kepada segala-gala benda biasa yang luar biasa ini? Lihat diri kamu sendiri… tidakkah kamu mampu melihat Dia? Hanya jika di dahimu tertulis kedut yang disangka kalimah Allah, baru kamu akui kebesaran Dia? Lupakah kamu kepada peringatan-Nya:
“Dan pada dirimu itu, mengapakah kamu tidak perhatikan tanda-tanda dan bukti kebesaran Dia?” [Adz-Dzaariyaat 51: 21]
Lihat dengan mata hatimu jari jemari yang sepuluh di tanganmu itu. Ia jari jemari biasa yang luar biasa. Panjang pendeknya menyerlahkan kesempurnaan penciptaan Dia. Lihat tubuh badanmu, jantungmu, matamu, kulitmu… semua yang biasa-biasa itu sebenarnya bukan biasa malah luar biasa. Mengapa harus dinanti sesuatu yang di luar kebiasaan untuk menyedari kehebatan Dia? Dangkal sungguh keupayaan kamu mengimani Dia..
Renung langit… lihat bulan dan bintang, perhatikan pertukaran malam dan siang… segala kejadian biasa itu bukan biasa-biasa. Semuanya luar biasa. Lupakah kita semua kepada sebutan Dia dalam firman-Nya:
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal;(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka. [Aal Imraan 3:190-1]
Mengapa yang luar biasa juga yang dicari, sedangkah segala-galanya terbentang di depan mata. Setiap kejadian sekecil atau sebesar mana sekali pun, tetap padanya ada tanda dan bukti kebesaran-Nya.
Tetapi dengan tanggapan manusia kaku yang gagal mengesan kehadiran-Nya hinggalah nama-Nya muncul (disangka muncul) di sana sini, kita sia-siakan mesej Allah yang disampaikan terus menerus pada penciptaan alam ini. Juga kita sering terkejut tidak tentu hala.
Bukan sahaja terkejut dengan terpahatnya jalur-jalur yang ditafsir sebagai ‘mesej dari-Nya’, malah menganggap pula ikan itu ikan Allah, budak ini budak Allah… apa semua ini?
Kita lupa kepada hakikat segala yang ada di sekitar ini, sedang dan sentiasa berhubung dengan Allah, melihatnya mendatangkan tenang, mendengar suaranya mendatangkan harmoni di dalam jiwa. Semuanya zikrullah..
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun [Al-Israa’ 17: 44]Sesungguhnya paradigma tahyul (takhayyul barangkali) menjadikan kita gagal melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, pada hari-hari biasa, kejadian-kejadian biasa… yang di sebalik semua itu tersimpan makna yang agung dan luar biasa.
Sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada [Al-Hajj 22: 46]Buta mata hilang warna… buta hati hilang makna dan erti.
Buta mata tak nampak jalan di dunia, buta hati tak nampak jalan menuju ke Syurga.
ABU SAIF @ www.saifulislam. com, 56000 Kuala Lumpur
sumbangan dari Norhayati I
0 comments:
Post a Comment