Apabila memperkatakan tentang perjuangan, tentu sekali ianya memerlukan pengorbanan, memerlukan kesungguhan, memerlukan komitment, memerlukan ilmu, memerlukan perasaan dan yang penting adalah dasar kepada perjuangan tersebut. Apakah dasar perjuang yang telah kita lakukan selama ini, apakah visi dan misi yang ada didalam kehidupan yang kita telah lalui, Adakah kita sebenarnya mempunyai visi dan misi didalam kehidupan kita? Atau kita hanya mempunyai visi dan misi di dalam syarikat semata-mata tanpa kita mempunyai visi dan misi untuk kehidupan yang begitu memerlukan visi dan misi bagi memandu kehidupan kita.
Tanpa kita sedari atau tanpa kita minta umur kita telah meningkat dari setahun jagung kepada hampir menjejak waktu asar atau mungkin telah hampir magrib, mungkinkah kita telah mempunyai visi dan misi kehidupan yang jelas untuk menjadikan kita manusia yang akan mendapatkan kebaikan kehidupan di dunia dan akhirat nanti. Masa tidak menanti kita tapi ia tetap berlalu dan akhirnya masa akan habis buat diri kita. Kita perlu bertindak sekarang untuk memperbaiki yang yang silap dan sekarang bukan masa untuk menyesali apa yang telah berlaku tetapi sekarang adalah masa untuk melihat apakah yang mampu untuk kita perbaiki dan perlu kita lakukan agar kehidupan itu penuh dengan makna yang memberikan kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat kita.
Kadang kala begitu sukar untuk berubah dan kita terus memberikan alasan demi alasan untuk tidak berubah. Mungkin tanggapan kita yang menyatakan sukar menyebabkan kita sukar untuk berubah, kita perlu mengubah pemikiran kita dahulu dan meletakkan visi dan misi yang jelas didalam pemikiran seperti jelas dan terangnya sinar matahari menyinarkan cahayanya di pagi hari. Jika kelabu dan malap visi serta misi di dalam pemikiran kita maka kita akan dapati usaha dan tindakan yang tidak berapa bersungguh akan kita tunjukan didalam kehidupan seharian kita. Kita tidak kisah tentang setiap saat yang berlalu, kita tidak berkira dengan apa sahaja yang berlaku dan kita tidak kisah apakah yang telah kita lakukan dan tidak kisah tentang kemajuan diri kita. Kita tidak akan mahu untuk berjuang dan memastikan perjuangan akan dimiliki oleh diri kita kerana kita sebenarnya tidak mempunyai visi dan misi yang jelas.
Untuk memastikkan kita akan sentiasa berjaya didalam perjuangan ini, kita perlu mencari cinta Allah swt didalam kehidupan kita kerana dengan cinta itu sahaja akan menyebabkan kita sentiasa berkira-kira diatas tindakan kita dan akan mencari segala apa yang dikehendakiNya. Apakah panduan Al Quran menjadi rujukan kita dan sentiasa bermain didalam pemikiran kita, jika tidak maka inilah masa yang baik untuk bermula kerana kita telah sedar yang kita perlu melakukan sesuatu dan sekaranglah masanya. Peganglah kembali Al Quran seperti kita semasa kanak-kanak dahulu, pahami dan pelajari bagi mengubah kehidupan yang begitu indah. Allah hu Alam.
0 comments:
Post a Comment