Monday, March 16, 2009

Tanggungjawab Menuju Akhirat

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Ayah-ayah! suatu pangilan mesra dari seorang anak, apakah dengan memenuhi segala kehendak anak akan melengkapkan segala peranan seorang ayah. Apakah dengan memberikan tempat tinggal yang sempurna, makan minum dan segala kelengkapan permainan sudah menjadikan seorang lelaki yang mmempunyai zuriat telah sempurna tanggungjawabnya kepada zuriat tersebut.



Peranan dan tangung jawab ayah begitu besar untuk menjadikan anak-anak yang dilahirkan dari isteri-isteri meraka sebagai manusia yang mengenal Allah swt. Para Ayah perlu menyedari bahawa mereka memainkan peranan yang besar untuk memastikan anak-anak yang diberikan oleh Allah swt itu tidak disia-siakan sehingga menjadi manusia yang tidak berguna kepada diri mereka sendiri, masyarakat dan alam. Kita mempunyai tanggung jawab untuk memastikan yang anak-anak ini boleh memainkan peranan mereka menjadi manusia yang boleh menjalankan tanggungjawab sebagai manusia seperti yang dikehendaki oleh Allah swt.



Apakah tanggungjawab yang telah diberikan kepada manusia? Pertama sekali kita perlu benar-benar merasakan hubungan dengan ALLAH swt. Kita perlu tahu apakah hubungan yang perlu kita lakukan dengan Allah swt. Kita perlu mempunyai akidah yang sempurna, tetapi sejauh mana kita paham tentang akidah yang sempurna. Banyak buku-buku yang menjelaskan tentang akidah dipasaran dan berapa banyak pula buku-buku itu pernah kita baca atau adakah kita memilikinya.


Jika kita masih belum memilikinya, sekaranglah masa yang terbaik untuk kita bermula menghimpun buku-buku yang memberikan kebaikan kepada diri kita untuk kehidupan akhirat nanti. Mengapa kita mampu menghabiskan wang membeli surat khabar tetapi sukar untuk membeli buku-buku untuk mendidik anak-anak kita.



Mungkin kita perlu bermula dengan tafsir-tafsir Al Quran dari ayat-ayat yang mudah untuk kita menyemak sejauh mana kita memahami makna Al Quran untuk memandu kehidupan kita. Jika semua peralatan yang kita beli ada buku panduan mengunakanya, maka sudah tiba masanya untuk kita mengunakan manual panduan Al Quran untuk memandu kehidupan kita agar kita sentiasa berada dijalan yang lurus. Apa yang telah berlalu tidak mungkin untuk ditarik balik tetapi apa yang ada sekarang perlu untuk kita lakukan yang terbaik. Apakah kita tidak mahu mendapatkan yang terbaik, hadiah yang terbaik dan apa sahaja yang terbaik. Peluang masih ada dan kita perlu lakukan sekarang bukan menanti hari esok.



Saya masih teringat pemergian seorang guru yang amat saya kasihi seminggu yang lalu, semasa jenazah diletakkan diliang lahat, saya lihat wajahnya penuh dengan suatu kepuasan mungkin kerana telah melaksanakan suatu tanggung jawab, ramai pelajar-pelajarnya hadir semasa pengkebumian tersebut, ini adalah hasil dari didikan dan cetusan kasih sayang mendidiknya sehingga kami dapat merasai kemanisan iman, semuga pahala yang berterusan akan diperolehi oleh beliau dialam barzah nanti.



Saya tertanya-tanya adakah apabila saya dimasukkan kedalam kubur nanti, saya akan meninggalkan anak-anak yang soleh dan sentiasa mendoakan diri saya agar mendapat rahmat dari Allah swt. Apakah amal yang mungkin akan dapat menyelamatkan kita dari suatu perhitungan yang begitu teliti untuk melihat kesungguhan dan kebersihan hati yang penuh keikhlasan. Semuga kita semua berusaha bersungguh untuk suatu hari perhitungan yang tidak mungkin kita dapat melarikan diri kita. Marilah kita bermula sekarang, saat ini kerana saat sentiasa berlalu tanpa menanti apakah yang ingin kita lakukan. Allah hu alam.

0 comments: