Monday, March 16, 2009

Hari-Hari berlalu..Dimana Kesyukuranku..

Assalammualaikum dan salam sejahtera,



Kanak-kanak kecil itu terus mengikuti saya semasa saya mula memasuki pintu pagar pasar itu lagi. Dengan wajah yang begitu sedih dan keletihan ia terus mengikuti aku melihat-lihat ikan yang ingin aku beli untuk di bawa pulang ke semenanjung. Aku berhenti dan melihat kanak-kanak kecil yang mengikuti diri ku sambil bertanya, anak nak ikan? atau biar pakcik belikan untuk anak boleh? Dia mengelengkan kepalanya, tetapi menunjukkan bungkusan yang ku bawa untuk membantu mengangkatnya. Hati kecilku begitu kasihan sekali, anak yang begitu kecil ingin mencari kerja untuk mengangkat barangan yang aku beli, bila ku lihat tubuh badannya yang begitu kurus dan apabila ku bandingkan dengan barangan yang aku beli mungkin berat barang yang saya bawa lebih berat dari tubuh badannya sendiri.



Mereka tidak meminta untuk dilahirkan demikian, begitu juga anak kita sebenarnya dengan kasih sayang yang diberikan kepada hamba-hambaNya, Allah swt telah menjadikan kehidupan seperti yang kita lalui hari ini. Kita rasa kita bijak dan Allah swt mampu menjadikan kita sebodoh-bodoh manusia bila-bila sahaja. Kita rasa kita kaya? Allah swt mampu menjadikan kita miskin bila-bila masa sahaja. Kita rasa kita bahagia? Allah swt mampu menjadikan kita derita bila-bila masa sahaja. Kita rasa kita miskin, maka Allah swt juga mampu memberikan kekayaan kepada kita bila-bila masa sahaja. Persoalannya adakah kita telah belajar untuk bersyukur terhadap apa yang kita ada sekarang?



Mengapa kita selalu mengeluh dan melihat dengan sikap tidak puas terhadap apa yang telah kita terima? Mengapa kita tidak pernah mempersoalkan kebaikan yang begitu banyak yang telah kita terima, sebaliknya mempertikaikan sedikit kesukaran yang kita alami. Apakah kita sedar bahawa kehidupan ini penuh dengan kebaikan dan keindahan yang perlu dilukiskan didalam minda untuk dilahirkan didalam tindakan dan merasai betapa nikmatnya hadiah-hadiah yang begitu banyak yang telah diberikan oleh Allah swt.



Berapa ramai orang yang membawa kenderaan setiap hari dan tiba-tiba ada yang kemalangan sehingga mengalami troma, ada pula yang terus meninggal dunia dan ada pula yang tidak cedera. Namun bagaimana penerimaan kita. Bila kita kemalangan adakah kita bersyukur? Adakah kita sedar mungkin kita kemalangan tapi masih selamat, mungkin kita kemalangan tetapi masih hidup walaupun cedera sedikit, kita kemalangan dan terlantar 3 bulan di hospital, itu tanda Allah swt masih sayangkan kita kerana masih hidup dan masa 3 bulan diberikan untuk kita berfikir tentang kehidupan sebenarnya yang ingin kita cari di dunia ini. Apa yang berlaku tetap telah berlaku dan kita tidak boleh mengembalikan masa yang telah berlalu, yang boleh kita lakukan adalah berfikir apakah yang terbaik yang mungkin bolelh kita perolehi dari setiap yang telah berlaku untuk kita melalui kehidupan yang singkat ini. Allah hu alam

0 comments: