Indahnya malam pertama, apabila jari jemari membuka butang baju kita, membuka segalanya dengan penuh kelembutan kerana kita tidak mampu untuk melakukannya lagi, kita pasrah diatas ketentuan dan menanti apa sahaja tanpa dapat berbuat apa sahaja. Seorang demi seorang datang untuk melihat kita sebagai mempelai yang diraikan, kita terlalu malu diperlakukan begitu namun tidak mampu melakukan apa-apa lagi. Segala-gala telah berakhir kerana kita akan melalui malam pertama di alam kubur. Adakah itu hakikat yang aan mendatang atau kita penuh dengan ketakutan, penuh dengan derita kerana ketakutan yang amat sangat keran tiada amal yang ingin dibawa.
Bagaimanakah persiapan kita untuk malam pertama ini, berapa banyakkah perhiasan yang telah kita sediakan untuk set bilik tidur kita? Berapa banyak wangian yang telah kita sediakan, berapa banyak pula cahaya yang kita sediakan untuk malam tersebut, apakah kita akan disambut dengan penuh kebaikan atau kita akan disambut dengan perasaan jelek, Apakah yang mungkin berlaku? Adakah kita pernah membayangkanya agar kita ternanti-nanti malam itu, Kehidupan tentunya berakhir namun apakah pengakhiran yang kita sediakan untuk diri kita nanti.
Sekarang kita mempunyai kenderaan yang sangat baik, kita punya rumah yang besar, isteri yang begitu menawan, anak yang membahagiakan dan banyak lagi yang kita perolehi hasil dari usaha yang telah kita lakukan semasa kita hidup. Kita berbangga dengan apa yang kita ada, kita merasakan kita telah diberikan kebaikan oleh Allah swt dengan mendapatkan apa yang kita ada sekarang. Namun apakah ertinya semua ini sekiranya apabila kita dipanggil nanti oleh Allah swt, tiada lagi kereta yang besar, tiada lagi rumah yang indah, tiada lagi isteri yang mempersonakan dan tiada lagi anak yang menyeronokan, segala-gala akan berpisah dan yang ada hanya amal yang kita lakukan untuk menjadi bukti dan tikit untuk membawa kita kesuatu perjalanan yang jauh. Tidak terbayang bagaimanakah perjalan itu, penuh dengan cabaran dan penderitaan atau penuh dengan keindahan dan kemanisan.
Perjalanan yang bermula seperti seorang pengantin yang dibelai oleh sang kekasih namun hanya buat sementara sebelum bertemu dengan kekasih yang menanti di tempat persemadian, adakah ia akan berbaik dengan kita atau dia begitu marah kepada kita kerana kita tidak membawa barangan yang diinginkan. Apakah barang dagangan yang kita bawa untuk kita perdagangkan, banyak atau sedikit, berharga atau tidak, diperlukan atau tidak. Marilah kita fikirkan agar kita tidak terlewat, agar kita tidak menyesal, Marilah kita mempersiapkan segala-galanya kerana kita pasti melaluinya, kita pasti mati dan setiap yang hidup pasti mati, malam itu pasti tiba hanya masa sahaja yang menentukannya.
0 comments:
Post a Comment