Monday, March 16, 2009

Pengorbanan Didalam Pencarian Kebahagiaan

Assalammualaikum dan salam sejahtera,


Kehidupan suatu keindahan yang perlu dicari bukan hanya menanti dan menunggu akan kehadirannya. Bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lidah mana yang tidak tergigit, adat resam kehidupan berumah tangga yang memerlukan penuh dengan kesabaran dari kedua-dua belah pihak. Masing-masing sentiasa ada kelemahan dan kita bukan manusia yang terbaik, tetapi bercita-cita untuk memberikan yang terbaik.


Kita lebih hampir kepada apa yang kita fikirkan. Jika kita mahukan yang terbaik kepada keluarga kita, walaupun ribut taupan mana sekalipun yang mendatang segalanya akan dapat dihadapi dengan penuh kemanisan dan kesyukuran kepada Allah swt. Tidakkah semuanya yang berlaku adalah merupakan ujian untuk melihat kita sejauh mana kita berbaik sangka kepada Allah swt. Untuk melihat sejauh mana kita boleh bersabar dan merasakan yang Allah swt sentiasa melihat diri kita dan kita mahu melakukan yang terbaik yang mampu kita lakukan.


Bagi isteri yang tengah membara marahnya, suami perlulah bersabar dengan kerenahnya, mungkin ada kebenaran di atas marahnya dan mungkin melulu kerana hasutan saitan, kesabaran akan lebih memberikan kebaikan kepada diri kita. Wahai suami, cepat-cepatlah pegang tangannya, atau pegang bahunya atau sentuh dimana sahaja kerana sentuhanmu lelaki bak air batu yang akan memadamkan kemarahan yang membara. Katakan ’Semuga Allah swt merahmatimu, apa silap abang sayang’ atau ’Sayang, abang manusia biasa, apakah yang abang perlu baiki’ atau ajak duduk sebentar pegang tangannya, mungkin itu sudah cukup untuk meredakan kemarahan yang membara.



Bagi suami yang tengah marah membara, isteri perlu cepat untuk menyediakan makanan agar perut yang lapar dapat diisi, tidak menyentuh suami yang membara kerana kemarahan makin membara jika disentuh oleh isteri yang setia. Biarkan mereka makan sekenyang-kenyangnya kerana darah yang banyak dikepala akan turun keperut untuk memproses makanan yang ada. Bila kemarahan telah reda dek makanan yang ada, baru boleh duduk bersama dapatkan fakta kemarahan mungkin kerana berita yang didengar, mungkin kerana kerja yang banyak, mungkin kerana ego tidak dihormati atau mungkin kerana berbagai perkara yang tidak disenangi yang telah si isteri lakukan.



Yang penting semangat untuk saling paham memahami, saling hormat menghormati kerana kita diikat oleh suatu tujuan untuk mencari redza Allah swt di dalam penghidupan, mencari kemanisan untuk suatu perjalanan yang singkat sebelum kematian, membina dan terus membina sehingga surga dunia dapat diadakan dan surga akhirat pemberian Allah swt. Surga dunia dan akhirat memerlukan pengorbanan yang mungkin tidak dapat digambarkan oleh kata-kata tetapi memerlukan tindakan keikhlasan yang di nilai hanya oleh Allah swt. Marilah kita bina mahligai-mahligai keluarga bahagia yang dapat mencorakkan dunia agar menjadi contoh umat manusia akan datang. Allah hu Alam.

0 comments: